KUALA LUMPUR – Penjawat awam perlu terus memberi keutamaan kepada tanggungjawab utama iaitu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh sebarang agenda yang boleh menjejaskan integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat menyeru penjawat awam mengekalkan prinsip berkecuali tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau tindakan yang boleh menjejaskan imej serta kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
Menurut beliau, penjawat awam merupakan tunjang kepada kestabilan pentadbiran negara dan perlu sentiasa menunjukkan sikap profesional, berintegriti serta memelihara tatasusila dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam perlu mendukung sepenuhnya prinsip-prinsip Rukun Negara terutamanya Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan nasional.
“Sebarang tindakan yang menyimpang daripada prinsip ini bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam malah boleh mengganggu kelangsungan sistem pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, tambah Adnan, CUEPACS menggesa semua penjawat awam untuk kekal fokus kepada amanah yang telah diberikan dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau aktiviti yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata rakyat.
Semalam, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Ia kerana, kata Shamsul Azri, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.
Pas sebelum ini menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















