KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal menganjurkan Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka di Osaka, Jepun bermula 21 hingga 26 Julai 2025.
Penyertaan KPT pada minggu ke-15 penganjuran Ekspo 2025 Osaka itu merupakan platform strategik untuk negara mengetengahkan kekuatan, aspirasi dan peranan dalam bidang pendidikan tinggi.
Antara fokus utama penganjurannya adalah untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi.
Selain itu, ia mempromosikan pengajian di Malaysia untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan rakan kolaborasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Mempromosikan Edutourism iaitu gabungan unik antara pendidikan dan pelancongan, menonjolkan kualiti dan kejayaan IPT di Malaysia.
Selain itu, ia satu perkongsian kepakaran, inovasi dan kerjasama bidang akademik bersama industri, kata KPT dalam kenyataan.
Dalam masa sama, ia memperkukuh hubungan dua hala bersama negara lain menerusi program mobiliti, pertukaran pelajar dan akademia.

Program Edutourism merupakan inisiatif KPT yang terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi unggul di rantau ini.
“Dalam usaha menyokong inisiatif ini, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) membawa program Edutourism ini ke pentas antarabangsa melalui penyertaan dalam Ekspo Dunia Osaka 2025 sekali gus memperkenalkan kepelbagaian pakej pendidikan berasaskan pelancongan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia kepada komuniti global.
“Malaysia yang kaya dengan destinasi pelancongan pastinya menarik minat bukan sahaja pelancong yang ingin berekreasi malah turut menjadi tarikan bagi mereka yang ingin mempelajari melalui edutourism ini terutama pelajar-pelajar kerana model pengajian ini menitipkan fokus untuk mempromosi budaya, alam sekitar serta penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar,” kata kenyataan yang sama.
Bersempena Ekspo Dunia Osaka 2025 kali ini, sebanyak 88 pakej Edutourism edisi khas Jepun daripada 55 Rakan Sepadan yang berdaftar telah dipamerkan kepada pelawat ekspo, menawarkan pelbagai pengalaman pembelajaran, budaya dan inovasi yang merangkumi 11 kategori utama.

Setiap pakej dirangka untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta antarabangsa mengenai keunikan sistem pendidikan tinggi Malaysia yang bertunjangkan nilai global, keterangkuman dan kepelbagaian budaya.
“Menambah nilai kepada pameran ini, Buku Edutourism Edisi Kedua yang baru dilancarkan turut dibawa ke ekspo ini.
“Buku ini menghimpunkan senarai lengkap pakej-pakej yang menarik untuk peserta antarabangsa,” katanya.
Inisiatif itu mampu memperkukuh lagi strategi Malaysia dalam mengarusperdanakan pendekatan pendidikan berasaskan aktiviti pelancongan rentas sempadan yang berimpak tinggi dan mampan.
Sesi pra-pelancaran EdutourismGateway bakal berlangsung pada minggu ini sebagai komitmen negara dalam mendigitalkan akses kepada maklumat Edutourism dan memperluas capaian kepada komuniti global.
Gerbang itu berfungsi sebagai hab informasi sehenti kepada komuniti global untuk meneroka peluang di Malaysia.
Penyertaan Malaysia Ekspo Dunia Osaka 2025 ini sekali lagi membuktikan komitmen KPT dalam memposisikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Penyertaan Malaysia dalam ekspo itu juga sebagai platform strategik untuk memaparkan kekuatan ekonomi, keupayaan teknologi dan identiti kebudayaan Malaysia.
Pavilion Malaysia bertemakan “Weaving a Future in Harmony” (Menenun Masa Depan Dalam Harmoni) ini diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ia turut melibatkan penyertaan 21 kementerian dan 70 jabatan dan agensi kerajaan.
Pada minggu ke-15, Kementerian Pendidikan Tinggi dipilih untuk menerajui Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malayisa bermula 21 – 26 Julai 2025. – MalaysiaGazette
















