Sebahagian penjawat awam yang hadir pada Perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri Dewan De Seri Endon. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JANUARI 2025

 

Oleh: Zukiferee Ibrahim

AMARAN tegas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada penjawat awam agar tidak terlibat dalam Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini bukanlah satu ancaman, tetapi suatu seruan rasional untuk mempertahankan integriti institusi awam negara. Ia berasaskan prinsip undang-undang, etika perkhidmatan dan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen yang harmoni dan bukan semata-mata mengekang kebebasan.

Sering kali kita dengar hujah bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman. Benar, tetapi perlu diingat bahawa kebebasan yang dijamin itu bukan tanpa sempadan. Bagi penjawat awam, hak tersebut tertakluk kepada pelbagai peraturan perundangan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang melarang penglibatan dalam aktiviti yang boleh mencemar imej kerajaan atau menjejaskan keyakinan terhadap dasar-dasarnya.

Larangan ini bukan sesuatu yang baharu. Ia telah terpakai sejak 1968 dan terus diperakui oleh mana-mana kerajaan yang memerintah. Lebih penting, ia tidak pernah dicabar kesahihannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan. Justeru, adalah tidak jujur secara intelektual untuk menggambarkan larangan ini sebagai bentuk penindasan.

Elak krisis persepsi
Penjawat awam bukan individu biasa. Mereka adalah pemegang amanah rakyat, pelaksana dasar negara, dan penggerak utama kelancaran pentadbiran. Apa jua
tindakan mereka, walau di luar waktu pejabat, tetap mencerminkan nilai dan kredibiliti institusi perkhidmatan awam. Penyertaan mereka dalam demonstrasi
politik secara terbuka bukan sahaja melanggar tatakelakuan, malah mencetus krisis persepsi terhadap keprofesionalan jentera kerajaan.

Kehadiran penjawat awam dalam perhimpunan jalanan yang berunsur politik membawa implikasi besar. Ia seolah-olah menonjolkan sikap anti-kerajaan, walaupun individu berkenaan hanya bertindak sebagai rakyat biasa. Dalam dunia maya hari ini, satu gambar sahaja boleh menular dan disalah tafsir hingga menjejaskan kepercayaan umum terhadap dasar dan agensi yang diwakilinya.

Larangan sebegini bukan eksklusif di Malaysia. Di United Kingdom, penjawat awam tertakluk kepada Civil Service Code dan prinsip Political Impartiality yang dengan jelas melarang penglibatan dalam demonstrasi politik. Seksyen 4.4 Civil Service Management Code menyatakan: “Civil servants must not take part in public demonstrations which are politically controversial or might give rise to criticism of their political impartiality”. Begitu juga di Australia. Australian Public Service (APS) Code of Conduct memperuntukkan bahawa penjawat awam, walaupun di luar waktu tugas, tetap terikat dengan prinsip profesionalisme dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat imej dan kesetiaan kepada perkhidmatan.

Kesetiaan terhadap Government of the Day
Kesetiaan penjawat awam bukan kepada individu atau parti, tetapi kepada kerajaan yang memerintah secara sah. Ketika menjadi kerajaan dahulu, pemimpin pembangkang yang kini menganjurkan perhimpunan juga pernah menegaskan penjawat awam yang tidak selesa dengan dasar kerajaan sepatutnya meletakkan jawatan. Ironinya, kini mereka melaungkan kebebasan bersuara seolah-olah tanpa batas.

Di sinilah letaknya hipokrasi politik yang perlu ditolak. Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk merobohkan struktur dan prinsip yang selama ini menjadi asas kestabilan negara. Langkah KSN bukan bertujuan menakut-nakutkan, tetapi menjadi sempadan yang jelas. Penjawat awam mesti kekal sebagai pemangkin perpaduan, bukan pencetus polarisasi politik. Mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam beradab, berhemah dan berintegriti.

Mengekalkan integriti
Jika ada ketidakpuasan hati, terdapat saluran rasmi dan demokratik yang boleh digunakan Parlimen, saluran aduan, malah penjawat awam boleh menyuarakan
pandangan dan cadangan kepada persatuan atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka dalam Majlis Bersama Jabatan. Demonstrasi jalanan hanya menguntungkan ahli politik yang rakus, dan bukan rakyat terbanyak.

Menjadi penjawat awam bukan sekadar memakai tanda nama dan menerima gaji daripada kerajaan. Ia adalah satu tanggungjawab besar yang menuntut komitmen terhadap kestabilan negara, keluhuran perlembagaan dan kelancaran sistem pentadbiran. Jangan sesekali seret perkhidmatan awam ke medan politik jalanan. Ia bukan sahaja mencemar integriti, malah menodai prinsip utama yang membentuk jati diri penjawat awam.

Penulis ialah Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu. Bagaimanapun, ini adalah pandangan peribadi penulis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast