KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan terus memastikan kualiti penyelenggaraan lebuh raya kekal pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, di sebalik pengumuman tiada kenaikan kadar tol tahun ini.
Unit Korporat LLM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan obligasi oleh syarikat konsesi sebagaimana yang diperuntukkan di dalam perjanjian konsesi, sekali gus memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna lebuh raya terus terpelihara.
Menurutnya, pengguna lebuh raya pada masa kini bukan sahaja mengharapkan kadar tol yang berpatutan, malah menuntut agar lebuh raya terus menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan efisien.
Ujarnya, ia termasuk penyelenggaraan jalan yang berkualiti, kemudahan rehat dan rawat (R&R) yang kondusif, sistem trafik pintar serta respons pantas terhadap sebarang insiden di lebuh raya.

“Selain itu, aspek mesra pengguna seperti papan tanda yang jelas, pencahayaan mencukupi, kemudahan digital, dan inisiatif teknologi hijau turut menjadi keutamaan dalam memastikan lebuh raya kekal relevan dan menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, lebuh raya yang dibina berfungsi sebagai pelengkap kepada jaringan jalan raya sedia ada, sama ada untuk kegunaan harian atau secara bermusim (seasonal travelling).
Sehubungan itu, ujarnya, keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan pengguna lebuh raya khususnya.
“Lanjutan dari penangguhan kenaikan kadar tol ini, ianya dapat memberi manfaat kepada 941,000 pengguna harian yang menggunakan lebuh raya tersebut sekali gus memberi kelegaan dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Tambahnya, LLM juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI yang sentiasa mendahulukan kepentingan pengguna lebuh raya dan pada masa yang sama tidak mengenepikan obligasi kepada syarikat konsesi.
Di samping itu, ujarnya, LLM turut menghargai kerjasama dan sokongan daripada syarikat konsesi dalam menjayakan aspirasi Kerajaan MADANI untuk kesejahteraan pengguna lebuh raya.
“LLM komited untuk terus menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang selamat, cekap dan berkualiti tinggi, seiring dengan aspirasi negara ke arah sistem infrastruktur yang mampan dan inklusif,” katanya.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia berkata, tiada kenaikan kadar tol tahun ini di sebalik perjanjian kenaikan dengan konsesi lebuh raya yang sepatutnya dilaksanakan.
Lebuh raya yang terlibat bagi penangguhan kenaikan tol ini ialah Lebuhraya Cheras – Kajang (Grand Saga); Lebuhraya KL – Kuala Selangor (LATAR); Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Senai – Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Turut terlibat adalah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB). – MalaysiaGazette
















