KUALA LUMPUR – Minggu Pendidikan Tinggi di Ekspo 2025 Osaka yang dijayakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 21 hingga 26 Jun lalu menyaksikan 31 sesi pemeteraian serta pertukaran Memorandum Persefahaman dan Perjanjian ditandatangani antara 11 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bersama IPT Jepun.
Ia melibatkan 13 buah bidang strategik termasuk perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan.
Selain itu, pelbagai bentuk aktiviti lain turut dipersetujui, antaranya program pertukaran pelajar dan akademia, latihan industri, projek penyelidikan bersama dan pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri.
Malah, beberapa sesi padanan perniagaan turut diselaraskan dengan menghimpunkan 11 buah IPT Malaysia dan 20 buah syarikat luar negara.
Program ini bertujuan memperkenalkan IPT Malaysia ke pasaran Jepun di samping menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk (R&D).
Seiring dengan tema Study in Malaysia, ekspo ini mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa di Pavilion Malaysia.
Satu daripada inisiatif menggalakkan ketibaan pelajar adalah melalui program Edutourism, iaitu gabungan pendidikan danpelancongan dengan menawarkan 168 pakej daripada 55 rakan sepadan merangkumi 11 kategori utama termasuk budaya, warisan, makanan dan pengembaraan.
Sesi pra-pelancaran rasmi ‘Edutourism Gateway’, sebuah gerbang digital yang berfungsi sebagai hab informasi sehenti para komuniti global turut berlangsung dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
KPT menambah, dalam usaha mempelbagai program pemindahan dan perkongsian ilmu, sebanyak 22 buah sesi perkongsian pocket talk, podcast, serta forum telah dianjurkan yang berfokuskan kepada topik perkongsian ilmu dan inovasi dengan melibatkan 15 buah IPT Malaysia.
Setiap satu IPT turut mengetengahkan kepakaran tersendiri menjadikan ia platform dinamik yang mencerminkan keupayaan dan kebitaraan pendidikan tinggi Malaysia. – MalaysiaGazette
















