KUALA LUMPUR – Penyanyi, Elyana mencuri perhatian ramai apabila berkongsi foto dirinya dengan imej botak di media sosial miliknya tanpa berkongsi secara terperinci menjelaskan penampilan terbaharunya itu.
Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal hanya memberitahu dia sedang melalui proses dan mahu kelihatan tenang yang apa yang dilalui ketika ini.
“Jika akhirnya kamu mendengar cerita buruk tentang diriku daripada mereka, fahamilah aku juga pernah baik pada mereka cuma mereka tidak menceritakan bahagian itu,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Elyana, 38, turut berharap individu yang berdepan dengan dugaan penyakit seperti dirinya agar sentiasa meraikan diri sendiri meski sedar mempunyai kekurangan
“Pesanku untuk teman seperjuangan, kau berharga dan cukup layak selalu dirayakan. Tidak peduli dalam kurang atau lebihmu, tetaplah menjadi orang yang baik walau mereka menghinamu tidak baik,” ujarnya.
Pada Februari lalu, dia memberitahu selepas disahkan bebas kanser limfoma pada Disember 2021.
Menurutnya, penyakit barah berkenaan berpotensi kembali aktif sekiranya tidak meneruskan rawatan kemoterapi seperti saranan doktor.
Katanya, kali terakhir menjalani kemoterapi adalah sekitar tiga tahun lalu sebelum mengambil keputusan berehat daripada meneruskan rawatan selama dua tahun. – MalaysiaGazette
















