Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa supaya siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pengeluaran visa perubatan kepada warga asing diperluaskan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia bagi mengenal pasti sekiranya wujud sindiket atau pihak luar yang turut terlibat dalam tindakan meluluskan visa kepada pemohon yang tidak memenuhi syarat serta menggunakan dokumen tidak lengkap tersebut.

Menurutnya, ketegasan terhadap salah laku dalam aktiviti jenayah seperti itu merupakan langkah penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.

“Dalam masa sama, siasatan menyeluruh bersabit dakwaan salah guna kuasa dalam kes ini juga mampu memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengemukakan syor tindakan jenayah terhadap beberapa pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan visa perubatan kepada warga asing secara tidak sah.

EAIC memaklumkan siasatan dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas diketuai Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Razali Ab Malik berhubung pengeluaran pas lawatan sosial bagi kategori visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

Sementara itu, Jais menyifatkan tindakan EAIC merujuk kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Imigresen dan atau Akta Pasport adalah wajar dan perlu disegerakan.

Jelas beliau, ia bagi menjamin ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam agensi penguatkuasaan.

Tambahnya, ketegasan terhadap salah laku seperti itu adalah langkah penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah global.

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti sektor awam negara,” katanya.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast