KUALA LUMPUR – Seramai 141 warga Filipina dan Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Sabah dalam serbuan di dua buah penempatan yang didiami warga asing di sekitar Keningau, Sabah malam tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, warga Filipina yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 38 wanita serta 38 kanak-kanak lelaki dan 31 kanak-kanak perempuan.
Sementara itu warga Indonesia yang ditahan pula terdiri daripada 16 lelaki dan enam wanita serta dua kanak-kanak perempuan.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang bermula pukul 12.30 tengah malam tadi sehingga pukul 4 pagi tadi.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan seramai 84 pegawai imigresen pelbagai pangkat daripada Pejabat Imigresen Keningau; Tenom; Ranau; Sipitang dan Kota Kinabalu dengan kerjasama daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Keningau.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama kira-kira sebulan.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah bergerak ke penempatan warga asing tersebut dan telah memeriksa seramai 216 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Ujar beliau, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan – Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – MalaysiaGazette
















