KUALA LUMPUR – Penyanyi, Hafiz Suip mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam, Mei lalu.
Hafiz memberitahu, keputusan untuk berpisah bukan mudah malah dia dan bekas isteri mengambil masa setahun untuk memutuskan perkara itu.
“Kami sudah bercerai secara rasmi pada 29 Mei lalu. Namun, hubungan kami pada fasa baik. Saya cuba untuk berdamai dengan takdir dan bagi mengelak situasi tidak baik, hak penjagaan anak-anak diserahkan kepada bekas isteri.
“Bagi saya, tidak guna berebut turun naik mahkamah, jadi lebih baik kita berdamai. Saya doakan yang terbaik untuk bekas isteri dan anak-anak,” katanya memetik laporan BH Online selepas ditemui pada sesi ramah mesra bersama media di sini semalam.
Hafiz berkata, dia dan bekas isteri bagaimanapun masih dalam perbincangan mengenai pengurusan anak-anak berikutan dia kini menetap di Kuching, Sarawak.
“Biarlah bekas isteri yang menjaga anak-anak. Jika saya berada di tempat mereka pun, saya akan pilih ibu. Bukan bermakna anak-anak tidak perlukan bapa tetapi mereka pasti lebih selesa bersama ibu.
“Saya masih lagi berbincang dengan bekas isteri untuk luangkan masa dengan anak-anak sebulan sekali. Saya akan turun ke sini (Kuala Lumpur) dengan lebih kerap dan minta izin untuk bermalam dengan anak-anak,” katanya sambil mengakui tidak menyesal atas apa yang berlaku terhadap rumah tangga yang dibina pada 2016 itu.
Ditanya apakah masih ada ruang untuk mereka kembali berdamai, Hafiz berkata, urusan perceraian sudah pun selesai.
“Kalau sebelum bercerai mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Kami bukan tidak mencuba, sepanjang setahun kemelut berlaku, kami ada mencuba perbaiki perhubungan ini tetapi ini adalah yang terbaik (cerai).
Penyanyi Awan Nano itu mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016 dan menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhamamd Alkaf Zayne, 5. – MalaysiaGazette















