KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan untuk mewujudkan suatu mekanisme berkesan bagi pengurusan kes-kes insolvensi rentas sempadan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, pindaan itu bertujuan menyediakan satu kerangka perundangan moden bagi pelaksanaan prosiding insolvensi rentas sempadan di Malaysia.
“Insolvensi rentas sempadan merujuk kepada prosiding insolvensi dibawa terhadap syarikat korporat yang mengalami krisis kewangan serta tidak berkemampuan membayar hutangnya serta mempunyai pemiutang dan aset di lebih dari sebuah negara.
“Aset syarikat dan bilangan pemiutang yang berada di negara-negara lain boleh menyebabkan prosiding-prosiding insolvensi dimulakan terhadap syarikat yang sama dalam pelbagai bidang kuasa asing,” katanya ketika menggulung RUU tersebut peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Azalina, RUU itu berpandukan empat prinsip utama sebagaimana digariskan dalam, UNCITRAL Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI).
“RUU ini memberi akses langsung wakil asing ke mahkamah tempatan, pengiktirafan prosiding insolvensi asing serta pemberian relief, prinsip kerjasama serta koordinasi antara mahkamah tempatan dan mahkamah asing.
“RUU ini menggalakkan kerjasama rasmi antara mahkamah dan pihak berkuasa pentadbiran insolvensi di Malaysia dan negara asing, yang sebelum ini hanya bergantung kepada prinsip comity.
“Ia menyediakan kepastian undang-undang kepada pelabur dan pihak berkepentingan dengan menetapkan prosedur jelas berkaitan pengiktirafan prosiding asing, akses mahkamah dan pemberian relief,” katanya.
Selain itu, katanya, pindaan RUU tersebut bagi memastikan pentadbiran yang adil dan cekap serta melindungi hak semua pihak termasuk pemiutang asing.
“RUU ini juga bagi membolehkan nilai harta penghutang dilindungi dan dioptimumkan melalui mekanisme seperti interim relief.
“RUU ini menyokong usaha penyelamatan perniagaan yang masih berdaya maju, seiring dengan pindaan terkini kepada Akta Syarikat 2016, seterusnya melindungi pelaburan dan pekerjaan rakyat,” katanya.
Katanya, penggubalan RUU tersebut adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk menstruktur semula kerangka undang-undang negara agar lebih kondusif kepada pelaburan berkualiti dan mesra pasaran antarabangsa.
“MLCBI merupakan perundangan model insolvensi rentas sempadan yang digubal pada 1997 oleh UNCITRAL bagi menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara bidang kuasa mahkamah asing dalam prosiding insolvensi rentas sempadan.
“Sejak penggubalan MLCBI ini oleh UNCITRAL pada 1997, sebanyak 60 negara telah menerima pakai perundangan model ini,” katanya.
Katanya, antara negara terawal yang menerima pakai MLCBI ialah Jepun (2000), Afrika Selatan (2000) dan Australia (2008), manakala Arab Saudi merupakan negara terkini (2022).
“Di peringkat Asia Tenggara, Filipina telah menerima pakai MLCBI pada 2010 dengan diikuti oleh Singapura pada 2017 dan Myanmar pada 2020.
“Singapura dan United Kingdom telah membuat ubah suaian pemakaian MLCBI terutamanya dalam perkara pengecualian pemakaian, dengan mengambil kira kepentingan awam dan negara masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















