Penguat kuasa JAINJ melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kedai yang dijadikan premis urut di Kulai, Johor.

KUALA LUMPUR – Hasrat dua lelaki ‘melegakan badan’ di sebuah premis urut di Kulai, Johor tidak kesampaian selepas dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kulai, baru-baru ini.

JAINJ dalam kenyataan berkata, serbuan pada jam 12.35 malam itu dijalankan di sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat urut, melibatkan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 35 tahun.

“Kedua-duanya berada dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek ketika ditemui dalam bilik berasingan bersama tukang urut warga asing yang berpakaian tidak sopan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati perkhidmatan urut berkenaan dipromosikan melalui media sosial, dengan bayaran sekitar RM100 bagi urutan badan, manakala bayaran tambahan dikenakan bagi perkhidmatan lain.

“Bayaran hanya diterima secara tunai dan tidak melalui sebarang transaksi dalam talian atau tambah nilai di kedai serbaneka. Ini bertujuan mengelakkan pelanggan tertipu atau nombor telefon mereka disekat selepas membuat bayaran secara atas talian,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut JAINJ, salah seorang daripada mereka memberi alasan memilih untuk mendapatkan perkhidmatan urut di luar kerana isterinya tidak pandai dan enggan mengurut walaupun dimaklumkan dia mengalami lenguh badan.

“Kesemua individu yang ditahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast