KUALA LUMPUR – Klinik Universiti Malaya bersama rakan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia telah mengadakan Seminar Kesihatan Anak Muda IPTA–Universiti Malaya 2025 bagi meningkatkan kesedaran kepentingan serta memberi panduan tentang aspek-aspek penjagaan kesihatan seksual dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar institut pengajian tinggi ini.
Pengarah Klinik Universiti Malaya, Zuraidah Mohamed berkata, kesedaran penjagaan kesihatan seksual boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seperti HIV/AIDS dan jangkitan penyakit kelamin yang lain.
Menurutnya, pengurangan penyakit-penyakit ini melalui strategi intervensi yang menyeluruh dapat menyumbang kepada usaha memerangi jangkitan HIV, Hepatitis, Malaria dan penyakit lain.
Tambah beliau, dengan adanya seminar kesedaran ini, lebih ramai individu akan mendapat maklumat tambahan tentang kesihatan seksual dan reproduktif seperti perancangan keluarga, pendidikan seks serta pencegahan penyakit HIV/AIDS dan penyakit kelamin.

Ini secara langsung dapat memastikan akses universal kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, terutama kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Seminar yang terbuka kepada semua warga UM ini diadakan pada 25 Jun lalu, di Auditorium Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya, mengetengahkan topik-topik penting tentang kesihatan seksual dan kesejahteraan anak muda secara santai, terbuka dan bebas stigma.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang seminar berlangsung, antaranya sesi ceramah dan perkongsian ilmu, pameran dan booth interaktif, kuiz dan cabutan bertuah, saringan percuma untuk HIV, STI dan Hepatitis C serta pengenalan kepada inisiatif KAMI – Kelab Kesihatan Anak Muda IPT. Seramai lebih daripada 200 orang pelajar UM daripada pelbagai aliran pengajian telah menyertai seminar ini.
Secara keseluruhan, seminar kesedaran kesihatan ini adalah komponen penting dalam memastikan masyarakat yang lebih sihat dan seimbang yang seterusnya menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan global. – MalaysiaGazette
















