Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar itu telah diselaraskan pada Februari 2024, sekali gus caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik.
Beliau berkata, pelarasan tarif air dibuat berdasarkan kadar caj yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selepas Jemaah Menteri meluluskan pelarasan tarif air baharu bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan permohonan yang dikemukakan oleh negeri-negeri atas keperluan untuk mengukuhkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.
“Kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan tarif ini perlu supaya langkah-langkah meningkatkan rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 amat diperlukan.
“Pelarasan ini akan membolehkan pihak Air Selangor mengukuhkan usaha penukaran paip asbestos yang berusia lebih 40 tahun sepanjang 1,600 kilometer (km) di seluruh Selangor pada kadar 300 km setahun, bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kadar baharu bagi rumah yang menggunakan 20 meter padu hingga 35 meter padu akan meningkat sebanyak RM0.30/meter padu kepada RM1.62, iaitu bagi penggunaan sehingga 35 meter padu sebulan.
Beliau berkata bagi rumah-rumah yang menggunakan lebih daripada 35 meter padu sebulan, atau bersamaan dengan 35,000 liter, kadar caj baharu akan berubah sebanyak RM0.88/meter padu kepada RM3.51 bagi setiap meter padu yang melebihi 35 m³.
Amirudin berkata perubahan itu bertujuan menggalakkan penggunaan air yang lebih optimum dan berhemah.
Bagi kategori kondominium, kuarters estet dan kuarters kerajaan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM0.41/meter padu kepada RM2.09 bagi setiap meter padu air.
Amirudin berkata bagi kondominium, caj minimum secara pukal akan kekal pada kadar sebelum ini, iaitu RM173 sebulan, manakala caj minimum bulanan baharu bagi kuarters estet dan kuarters kerajaan akan meningkat kepada RM20.90 sebulan. -BERNAMA















