KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu dipandu dengan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat, bukannya bersandar semata-mata kepada idealisme politik kerana ia bukan manifesto pilihan raya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak menolak angka dan indikator ekonomi seperti sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan aliran pelaburan adalah penting dalam merangka RMK-13.
Namun, apa yang lebih penting, ujar beliau, adalah realiti di lapangan iaitu kehidupan yang lebih pedih dan mendesak yang mana rakyat kini sedang berada dalam kesusahan dan sedang terhimpit.
“Apa makna KDNK berkembang 5.5 peratus jika menurut data Bank Negara, 61 peratus rakyat Malaysia masih tiada simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan?
“Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1 peratus, kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu?
“Kita perlu jujur melihat inflasi makanan yang melonjak 2.9 hingga 3.3 peratus, terutamanya di Lembah Klang,” katanya ketika perbahasan usul RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah (PN-Larut) turut menarik perhatian mengenai kesan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai lalu.
Menurut beliau, sebelum pelaksanaan SST, harga ikan kembung di Pasar Borong Seri Kembangan, di sini, hanya RM14.80 sekilogram, namun kini meningkat kepada RM18.50 sekilogram, iaitu naik RM3.70 hanya dalam tempoh sebulan.
Lebih mengejutkan, ujarnya, apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh menyatakan beras tempatan tidak laku di pasaran.
“Saya tidak tahu suara siapa yang cuba dibela? Adakah Menteri mendengar keluhan rakyat berkaitan kualiti beras yang dijual.
“Tindak-tanduk beginilah yang menyebabkan rakyat kecewa. Mereka rasa dikhianati. Mereka rasa dihina.
“Inilah sebabnya lautan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Hamzah turut mengingatkan yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui pertumbuhan ekonomi tidak memberi sebarang makna sekiranya kebebasan dan hak rakyat untuk hidup bermaruah masih dirundung kelaparan, ketidakadilan dan peminggiran.
“Ini memperlihatkan Kerajaan Madani akhirnya bangkit dari tidur.
“Bila rakyat bangkit dan turun berhimpun, baru diumumkan minyak turun 6 sen,” katanya. – MalaysiaGazette
















