KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kurang memberi fokus terhadap keseimbangan antara wilayah apabila terdapat jurang yang ketara antara negeri-negeri maju dan kurang maju.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keadaan itu sekiranya dibiarkan berlaku tanpa tindakan konkrit dan komprehensif daripada kerajaan akan menyebabkan pendapatan pekerja dan rakyat semakin melebar.
Lebih malang, ujar beliau, kebanyakan negeri kurang maju itu dari segi demografi penduduknya merupakan majoriti kaum bumiputera.
Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan perlu melihat kembali berkenaan strategi pembangunan negara secara jangka masa panjang bagi memberikan kepercayaan kepada semua kaum.
“Kita tidak mahu timbul perasaan tidak puas hati di antara kaum, sebab itu Perikatan Nasional (PN) akan memberi penekanan kepada keseimbangan antara wilayah untuk meredakan keresahan rakyat.
“Ini merupakan salah satu cara untuk kita pastikan Pekali GNI dapat kita perbesarkan, sekali gus muncul negara maju berpendapatan tinggi,” katanya dalam perbahasan isu usul RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hamzah (PN-Larut), beliau yakin jurang antara wilayah itu dapat diatasi sekiranya kerajaan mempunyai matlamat bersama yang mana pembinaan negara bangsa digerakkan secara melangkaui partisan dan menolak politik dendam.
Selain itu, ujarnya, jurang tersebut juga boleh ditangani menerusi kemakmuran bersama yang mana tiada komuniti dipastikan tercicir dengan mendefinasikan semula matlamat pembangunan Malaysia.
Dalam masa sama, jelas beliau, ia juga boleh dicapai menerusi keprihatian tadbir urus berteraskan nilai keprihatinan dan kemanusiaan dengan melayan rakyat sebagai rakan usaha sama, bukan sebagai beban atau masalah.
“Tidak ada mana-mana kaum yang akan merasa diri mereka terpisah kerana ini adalah rancangan yang kita mahu lakukan untuk semua rakyat Malaysia iaitu prinsip inklusiviti.
“Soalnya apakah Perikatan Nasional mampu? Saya tegaskan kami mampu,” katanya. – MalaysiaGazette
















