Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga projek baharu manakala 79 projek sambungan telah diluluskan di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, sebanyak 11 projek berada dalam fasa pembinaan dan empat projek yang dijangka siap melebihi 12 bulan daripada tarikh jangkaan.

Empat projek berkenaan adalah Pembinaan Loji Rawatan Air Ke-2 Pitas; Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Semporna; Projek Bekalan Air Luar Bandar Di Kawasan Dewata, Lahad Datu dan Projek Bekalan Air Luar Bandar Kg. Monggoris, Kota Marudu.

Jelasnya,semua projek tersebut mendapat kelulusan untuk pelanjutan tempoh masa (EOT – Extension of Time) daripada Pegawai Penguasa dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Disebabkan oleh faktor-faktor luar jangka seperti arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), halangan memasuki tapak oleh penduduk setempat, isu berkaitan pengambilan tanah, cuaca buruk dan banjir, pindaan rekabentuk dan kerja-kerja tambahan,” katanya menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (Libaran – BN) di Dewan Rakyat hari ini.

Suhaimi sebelum itu meminta kementerian tersebut menyatakan senarai projek bekalan air luar bandar di Sabah yang gagal disiapkan atau lewat lebih 12 bulan.

Kata Rubiah lagi, KKDW sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) selaku Pegawai Penguasa dalam memantau pelaksanaan bagi memastikan projek-projek yang telah dirancang dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

“Penyelarasan dan pemantauan terhadap projek-projek di atas turut diadakan dari semasa ke semasa melalui mesyuarat berkala seperti Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Sabah dan mesyuarat-mesyuarat lain berkaitan projek yang dilaksanakan dari semasa ke semasa,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast