ISKANDAR PUTERI – Tular seorang wanita dipercayai terlelap ketika memandu sebelum melanggar motosikal lalu menyeret penunggang dan pemboncengnya ke tepi jalan, di sini semalam.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi video durasi 23 saat berlaku di Lebuhraya Nusajaya arah Gelang Patah pada pukul 5.55 petang.
Dalam video berkenaan kereta tersebut yang berada di lorong tengah tiba-tiba masuk ke lorong kiri sebelum melanggar dan menyeret motosikal serta kedua-dua mangsa tersebut.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan masih dijalankan.
“Kejadian itu melibatkan kereta Perodua Myvi warna kelabu dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun mengalami micro sleep.
“Dia kemudian melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave 1251 warna hitam yang bergerak lurus di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kereta tersebut melanggar motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang patah peha kanan dan cedera di bahagian tangan.
Pemboncengnya pula katanya, seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun cedera di bahagian kaki dan tangan.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu kereta berkenaan tidak ditahan tetapi sudah diambil keterangan dan siasatan masih dijalankan,” jelasnya.
Kumarasan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk menyalurkan ke pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 07- 5101322.- MalaysiaGazette















