KUALA LUMPUR – Bapa kepada kanak-kanak enam tahun bernama M Tishant akan didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu esok bagi pertuduhan membunuh,
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek berusia 36 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan lengkap dan arahan pendakwaan diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara.
“Kertas siasatan telah lengkap dan pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 300(c) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Dzaffir juga mendedahkan hasil soal siasat pihaknya mendapati motif kejadian dipercayai berkaitan isu keluarga iaitu suspek serta isterinya yang dalam proses perceraian dan perebutan anak.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, ditemukan meninggal dunia di daerah Jempol.
Susulan itu seorang lelaki direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil bedah siasat ke mangsa mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan pengikat kabel.
Siasatan lanjut mendapati suspek membawa anaknya dari Johor ke lokasi berkenaan kawasan yang sering dilaluinya sebelum melakukan pembunuhan kejam dan menanam mayat mangsa bagi mengaburi jenayahnya. – MalaysiaGazette















