Mas Imran dan Faridah menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Kamal di Taman Penggawa Barat, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor kini diuji apabila diserang angin ahmar hingga hilang punca pendapatan dan ditinggalkan isteri kira-kira tujuh tahun lalu.

Ahmad Kamal Kadir, 58, bapa tunggal status orang kurang upaya (OKU) yang kini membesarkan dua cahaya mata dalam serba kedaifan di sebuah bilik sewa di Taman Penggawa Barat di sini.

Menurutnya, dalam bilik tersebut semua urusan dia dan dua anak lelakinya berusia 9 serta 10 tahun yang masih bersekolah dilakukan dalam keadaan serba kekurangan dan keterbatasan fizikal.

“Saya diserang strok separuh badan lapan tahun lalu, selain semua jari kaki kanan terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman akhir tahun lalu hingga mengakibatkan saya tidak stabil ketika bergerak.

“Namun kecacatan ini tidak menghalang saya mengurus dua anak lelaki iaitu Ahmad Faiz dan adiknya, Ahmad Daniel Hafiz Al Siddiq,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik sewanya.

Terdahulu dia menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barangan bernilai RM1,000 dan sumbangan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang, Faridah Mustafa dalam bentuk wang tunai.

Bercerita lanjut, Ahmad Kamal berkata, pada masa ini bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 setiap bulan yang digunakan bagi persekolahan anak dan perbelanjaan keluarga.

“Saya akui kehidupan ini bukan senang, sebelum ini saya merupakan kontraktor dan hidup senang, kini diuji Allah, saya yakin semuanya atas kehendakNya.

“Kini saya terpaksa mendapatkan ihsan kenalan hampir setiap bulan bagi membayar sewa bulanan rumah RM400. Memang saya kerap ikat perut, keutamaan saya adalah anak-anak.

“Dalam soal kemudahan, banyak keperluan mereka termasuk kelengkapan persekolahan saya tidak mampu sediakan namun saya bersyukur mereka memahami keadaan saya,” katanya.

Ahmad Kamal bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk melaksanakan rutin hariannya termasuk memasak, mencuci kain mahupun menghantar anak-anak ke sekolah dengan sebuah kereta lama pemberian kenalannya.

“Isteri saya merupakan warga Indonesia, dia sudah meninggalkan kami akibat masalah keluarga dan sudah hampir tujuh tahun terputus hubungan,” katanya.

Dia masih berusaha untuk mengesan isterinya bagi membincangkan masa depan anak terutama berkaitan permohonan sijil lahir anak bongsu namun gagal menjejakinya sehingga kini.

“Saya memiliki dokumen berkaitan namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta kami ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor bagi menetapkan tarikh temujanji untuk urusan Ujian Perbandingan Darah (DNA) saya dan Ahmad Faiz Al Siddiq,” katanya.

Dia diminta membuat pembayaran RM1,700 bagi pengambilan tiga spesimen darah kepada Pengarah Kimia Johor bagi tujuan ujian DNA terbabit.

“Saya difahamkan sekiranya gagal menghadirkan diri dalam tempoh yang ditetapkan adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan 25 (1) (C) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) namun saya tidak mampu berbuat demikian atas masalah kewangan.

“Saya berharap pihak berkaitan membantu dari pada segi kewangan kerana masa depan Ahmad Faiz Al Siddiq akan menjadi tanda tanya sekiranya gagal memiliki sijil lahir,” katanya.

Dia bimbang masa depan kedua-dua anaknya itu terutama Ahmad Faiz Al Siddiq serta berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera tetapi berdepan kekangan kewangan dan kesihatan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada Ahmad Kamal menerusi akaun Maybank 101132413218.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast