Majlis pelancaran Pusat Latihan Topcon Malaysia berlangsung di Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR –  Topcon Positioning Asia (Malaysia) Sdn. Bhd. bakal melaksanakan pemindahan pengetahuan dan teknologi Jepun menerusi program latihan yang dilaksanakannya sekaligus membuka lembaran baharu di negara ini.

Presiden Topcon Corporation, Takashi Eto berkata, program latihan di Pusat Latihan Topcon Malaysia (TMTC) akan menjadi platform bagi pembelajaran teknologi serta praktikal dalam sektor pembinaan dari negara matahari terbit itu terutama dalam pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya dan sebagainya.

Kata beliau, TMTC juga  menjadi hab bagi pembangunan kompetensi digital yang penting dalam meningkatkan produktiviti, ketepatan dan kemampanan dalam proses pembinaan.

“Kami memilih Malaysia untuk mengembangkan teknologi di negara ini kerana Jepun memerlukan landasan luar untuk melakukan pemindahan teknologi.

“Malaysia juga mempunyai dan akan membina lebuh raya baharu serta landasan kereta api yang memerlukan pekerja berkemahiran. Justeru, meskipun dengan kemahiran yang kecil, kita mampu melatih untuk mengendalikan teknologi dari Jepun seperti mesin-mesin dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Pelancaran TMTC di Shah Alam.

Sementara itu, Pengarah Topcon Positioning Asia (Malaysia), Vincent Lai memberitahu, pusat latihan TMTC adalah kesinambungan perkhidmatan latihan yang sebelum ini dilaksanakan secara teori.

“Dengan pembinaan pusat latihan di sini, program latihan secara teori dan fizikal boleh dilaksanakan. Ia boleh menerima kemasukan pelatih bermula hari ini dan mampu memuatkan seramai 30 pelatih dalam satu-satu masa,” ujarnya.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki yang turut hadir dalam pelancaran tersebut memberitahu, kewujudan pusat latihan dan pembangunan Topcon juga menjadi peluang bagi kedua-dua negara membangunkan pengetahuan pembinaan bandar pintar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast