Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Wakil tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan tugas berat di Liga Juara-Juara Elit (ACLE) musim ini bagi Zon Timur apabila bakal bertemu kelab Jepun, China dan Thailand.

Menerusi undian sebentar tadi, dua pasukan dari China terbabit adalah juara Liga Super China dan juara Piala FA China, Shanghai Port serta naib juara Liga Super China, Shanghai Shenhua yang pernah ditundukkan JDT 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), musim lalu.

Bagi empat perlawanan di tempat lawan, mereka akan berkunjung ke Thailand, Australia, Jepun dan China.

Harimau Selatan juga akan berdepan juara Liga Thailand dan juara Piala FA Thailand, Buriram United selain dijadual berdepan naib juara ‘regular season’ Liga Australia, Melbourne City.

Hanya lapan pasukan teratas setiap zon akan mara ke pusingan seterusnya dan lawan mereka ditentukan berdasarkan kedudukan terakhir selepas peringkat kumpulan selesai dijalankan.

Terdahulu, JDT berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan ACLE musim lalu pada kedudukan yang membanggakan apabila muncul dalam kelompok tiga pasukan teratas Zon Timur.

Mereka meraih empat kemenangan dan dua keputusan seri untuk menghimpun 14 mata sekali gus mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Namun hasrat mereka untuk mencipta sejarah ke suku akhir ACLE buat kali pertama lebur apabila tumbang 0-1 secara agregat di tangan pasukan jiran, Buriram United pada aksi kalah mati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast