KUALA LUMPUR – Pemuda Perpaduan Ampang sebulat suara bersetuju supaya calon pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ampang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya diwakili anak jati kawasan itu.
Ketuanya, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, pihaknya menuntut kepimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan agar meletakkan calon dalam kalangan anak muda sekurang-kurang satu dari tiga kerusi tersebut.
“Calon pilihan raya bagi P099 Ampang, N19 Bukit Antarabangsa dan N20 Lembah Jaya mestilah daripada anak jati Ampang sendiri.
“Calon pilihan raya tiga kerusi ini mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang daripada kalangan orang muda.
“Pemuda Perpaduan Ampang walau bagaimanapun sentiasa patuh dan akur dengan apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan,” katanya menerusi satu kenyataan bersama Pemuda Perpaduan Ampang kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu Pemuda Perpaduan Ampang yang bermesyuarat di sini, malam tadi dihadiri Ketua Pemuda MIC Bahagian Ampang, Sundaram Kuppusamy dan Ketua Pemuda MCA Bahagian Ampang, Yun Chooi Yee.
Turut hadir, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi; Ketua Pemuda Amanah Kawasan Ampang, Mohd Aidil Ab Halim dan Ketua Belia PPP Ampang, Farrell Thajudeen.
Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin sedia mencabar Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk merampas kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Shahrul Nasrun berkata, kejayaan gerak kerja beliau dan pasukannya menewaskan penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin hingga hilang deposit boleh dijadikan kayu pengukur kepada kepimpinan UMNO untuk mempertimbangkan hasratnya itu.
Sebelum itu, media melaporkan, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengingatkan pemimpin PKR agar tidak menggadaikan kerusi itu semata-mata untuk seorang individu susulan kemasukan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Cabang Ampang.
Dalam pada itu, Harry Sham yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang berkata, pihaknya sudah sedia dan bersiap siaga dengan jentera masing-masing untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Pemuda Perpaduan Ampang sentiasa bersama dan tidak sesekali tergugat dengan isu nasional,” katanya.
Harry Sham berkata lagi, pihaknya akan mengadakan program Pemuda Perpaduan Ampang sempena Hari Malaysia pada 16 September 2025 bagi mengeratkan hubungan di antara mereka.
“Satu program bola sepak Pemuda Perpaduan Ampang akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengeratkan lagi hubungan diantara Pemuda Perpaduan Ampang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















