Hishamudin (berdiri empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian peserta yang menyertai kejohanan futsal remaja anjuran Biro Sukan dan Riadah, Persatuan Penduduk Taman Kantan Permai (TKP), Kajang sempena sambutan bulan kemerdekaan pada Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR – Satu kejohanan futsal remaja dianjurkan Biro Sukan dan Riadah, Persatuan Penduduk Taman Kantan Permai (TKP), Kajang sempena sambutan bulan kemerdekaan pada Sabtu lepas.

Pengarah program, Hishamudin Shamsudin berkata, ia bagi mendidik golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhkan diri daripada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan aktiviti lumba haram.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sekadar mengisi masa lapang para remaja, malah ia juga berperanan sebagai platform untuk membina semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan disiplin dalam kalangan peserta.

“Kita mahu remaja melihat sukan sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan dan memberi manfaat kepada kesihatan.

“Pada masa sama, ia juga dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti rempit dan pengambilan dadah,” katanya.

Menurutnya, penyertaan yang menggalakkan daripada remaja sekitar kawasan menunjukkan bahawa pendekatan melalui sukan masih relevan dalam mendekati golongan muda dan menyemai nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian mereka.

Program berkenaan turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk NGO tempatan dan badan-badan komuniti yang prihatin terhadap pembangunan belia dan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast