Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail (kanan) menerima anugerah di di Australian Aviation Awards 2025.

KUALA LUMPUR – AirAsia X (AAX) sekali lagi meraih anugerah berprestij Syarikat Penerbangan Antarabangsa Terbaik Tahunan di Australian Aviation Awards 2025 iaitu kemenangannya dua tahun berturut-turut sekaligus memperkukuh lagi kehadirannya yang semakin berkembang di Australia.

Anugerah itu mengiktiraf kecemerlangan berterusan AAX dalam menawarkan perjalanan udara antarabangsa berpatutan, dipercayai dan mudah diakses untuk rakyat Australia di samping memperluas jangkauannya di pasaran utama.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah ini bagi tahun kedua berturut-turut kerana Australia akan kekal sebagai salah satu pasaran terpenting bagi syarikat itu.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, kami telah menerbangkan lebih daripada 10 juta tetamu antara Australia dan Malaysia dengan majoritinya merupakan pengembara dari Australia, yang membuktikan sokongan kukuh rakyat tempatan terhadap jenama kami.

“Pengiktirafan ini terus memperkukuh komitmen kami untuk mengembangkan jangkauan di Australia dan terus menawarkan nilai serta perkhidmatan yang tiada tandingan.

“Kami berada di sini untuk jangka masa panjang dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu daripada Australia kerana memilih untuk terbang bersama kami, serta kepada para juri kerana mempercayai perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Australian Aviation Awards diadakan meraikan pencapaian kecemerlangan dalam sektor penerbangan melalui proses penjurian yang menyeluruh yang menilai pertumbuhan, kepimpinan, inovasi serta sumbangan kepada industri.

Mengulas lanjut, Benyamin berkata, AAX terus komited untuk pasaran tersebut dan akan menambah kekerapan penerbangan pada musim puncak perjalanan dari Disember ini hingga Januari 2026 dengan tiga penerbangan mingguan tambahan dari Kuala Lumpur ke Sydney dan Melbourne menjadikan setiap laluan kepada 14 penerbangan mingguan.

Dengan penambahan itu, AAX akan mengendalikan dua penerbangan sehari ke kedua-dua bandar tersebut, menjadikan kekerapan tertinggi setakat ini.

Ia sekaligus menawarkan lebih banyak kemudahan dan pilihan kepada para pengembara.

“Penambahan kapasiti ini juga meningkatkan kesalinghubungan serantau AAX melalui perkhidmatan Fly-Thru yang membolehkan sambungan lancar melalui Kuala Lumpur ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia, Timur Tengah dan Asia Tengah termasuk Tokyo, Seoul, New Delhi, Beijing, Almaty, Tashkent dan laluan baharu iaitu Istanbul.

“Melengkapkan rangkaian AAX, tiga lagi syarikat penerbangan di bawah jenama AirAsia juga mengendalikan penerbangan terus ke Australia dari Darwin, Adelaide dan Perth sekaligus memperkukuh kehadiran serantau kumpulan ini serta komitmennya untuk menawarkan kesalinghubungan tambang rendah dan bernilai tinggi di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast