Solat hajat memohon keadilan buat Allahyarham Zara Qairina (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan atas pertuduhan mengugut Zara Qairina Mahathir melalui komunikasi di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan, pendakwaan akan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan meskipun peguam keluarga Allahyarham memohon prosiding ditangguhkan buat masa ini.

“Kita akan teruskan (we will proceed),” ujarnya ringkas ketika diminta mengulas permohonan peguam keluarga berkenaan untuk menangguhkan pendakwaan terhadap kelima-limanya, sementara waktu.

Permohonan itu dikemukakan melalui surat yang dihantar menerusi e-mel kepada Peguam Negara pagi ini.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan Peguam Negara kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan, atau memberhentikan sebarang prosiding jenayah di mahkamah, kecuali di mahkamah Syariah, anak negeri atau tentera.

Ia bermaksud Peguam Negara mempunyai kuasa penuh dalam menentukan sama ada seseorang itu akan didakwa atau tidak dan juga boleh menghentikan sesuatu kes yang sedang berjalan.

Barisan peguam keluarga itu dalam kenyataan hari ini memohon penangguhan agar Peguam Negara dapat mempertimbang supaya semua remaja didakwa di bawah pertuduhan lebih berat iaitu Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Mereka terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2), kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika.

“Namun sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari Seksyen 507D(2), kami merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu,” kata kenyataan tersebut.

Peguam Negara ketika dihubungi wakil media semalam mengesahkan kelima-lima remaja berusia di bawah 18 tahun itu akan dibawa ke mahkamah esok bagi menghadapi pertuduhan.

“Pertuduhan akan dikenakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) iaitu berkaitan ugutan melalui komunikasi,” ujar beliau.

Ia berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina atau mencela, dianggap oleh seseorang yang berkemungkinan mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi kes kematian Zara Qairina ditetapkan bermula 3 September ini.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh prosiding iaitu pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peguam keluarga Zara mohon tangguh dakwa lima remaja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast