HULU LANGAT – Keupayaan Malaysia menyediakan kemudahan asas air dan tenaga yang moden serta strategik menjadi faktor utama negara ini terus menjadi tarikan pelabur asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek berkenaan sering menjadi pertanyaan utama pelabur sebelum mereka membuat keputusan untuk melabur di negara ini.
“Kita tidak boleh mempertahankan kredibiliti sebagai negara aman dan cekal jika isu asas seperti air dan tenaga gagal diselesaikan.
“Antara sebab Malaysia menjadi pilihan pelabur, khususnya dalam pembangunan pusat data, kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu termasuk semikonduktor adalah kerana adanya jaminan kemudahan air dan tenaga.
“Kemudahan ini bukan sahaja mampu disediakan, malah dapat dikawal dengan harga yang munasabah,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa.
Anwar dalam masa sama mengakui, industri air negara masih berdepan cabaran besar termasuk isu pembaziran serta kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
“Masih ada cabaran berkaitan keperluan air di negara kita, antaranya pembaziran, cara penggunaan serta sistem saluran lama yang menyumbang kepada NRW. Ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.
LRA Langat 2 dibangunkan bagi menampung permintaan bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terus meningkat berikutan pertambahan penduduk serta pembangunan industri.
Loji berkapasiti 1,130 juta liter sehari itu menerima bekalan air mentah dari Empangan Kelau melalui Muka Sauk Sungai Semantan, Pahang, sebelum disalurkan ke Langat 2 menerusi terowong sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.
Sistem penyaluran air terawat kemudian menghubungkan dua koridor utama, iaitu Koridor Utara meliputi Ampang dan AU3 Keramat, serta Koridor Barat yang merangkumi Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi hingga ke Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara dan Bukit Dengkil.
Anwar menegaskan, LRA Langat 2 adalah projek berskala besar yang membanggakan kerana sepenuhnya dilaksanakan oleh kepakaran tempatan.
“Projek ini bukan sahaja menuntut keterampilan tetapi juga pengurusan cekap dan bertanggungjawab. Ia membuktikan kemampuan profesional anak tempatan melaksanakan projek raksasa berteknologi tinggi.
“Saya hadir bagi memberi sokongan dan penghargaan kerana projek ini membuktikan kesungguhan serta keupayaan Malaysia mengurus pembangunan berimpak besar,” katanya. – MalaysiaGazette















