Na'imah Abdul Khalid berbincang dengan Gurdial Singh Nijar selepas keputusan permohonan semakannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 21 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dibenar mengemukakan lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi berhubung  kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan balu bekas Menteri Kewangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya mengemukakan persoalan tersebut.

Na’imah memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.

Menurut permohonan itu, jika jawapan kepada semua di atas adalah afirmatif, rekod bagi prosiding kemudiannya akan dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim K. Muniandy ketika membenarkan permohonan Na’imah berpendapat, tindakan pemohon bukan sesuatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.

“Isu perlembagaan yang dibangkitkan oleh Na’imah memerlukan campur tangan dan diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan.

“Dalam hal ini, keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya, wajar diperbetulkan kerana ia merupakan cabaran perundangan yang penting.

“Isu yang dibangkitkan memberi kesan mendalam terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),'” ujarnya ketika membacakan keputusan itu.

Hakim Muniandy turut membenarkan permohonan peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar agar permohonan Na’imah untuk mengemukakan persoalan undang-undang itu, didengar di hadapan beliau.

Gurdial sebelum itu berhujah, persoalan tersebut menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Hujah beliau, pemohon telah dituduh atas dakwaan sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.

Menurut Gurdial, pertuduhan terhadap Na’imah berkemungkinan besar dibuat sebagai tindakan balas SPRM terhadapnya kerana gagal mematuhi notis berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah, pertuduhan ke atas pemohon tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.

Beliau menghujahkan, siasatan kes SPRM sukar untuk dilengkapkan kerana saksi cenderung untuk ‘bersembunyi’ di belakang hak mereka dan enggan memberi kerjasama.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na’imah merujuk ke Mahkamah Tinggi, persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan balu bekas Menteri Kewangan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast