SHAH ALAM – Pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dengan opsyen tambahan 30 lagi jenis pesawat yang sama perlu dilihat daripada sudut positif untuk melihat syarikat penerbangan kebangsaan itu bergerak jauh ke depan.
Presiden Presiden Persatuan Pesara MAS (MASRA), Shulhameed K Marican berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan yang dibuat syarikat induk Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) kerana ia dapat mengembalikan usaha zaman kegemilanganya sebagai syarikat penerbangan lima bintang pada era 90-an.
Menurut beliau, jumlah 60 pesawat baharu itu masih dianggap sedikit dan ‘tiada apa-apa’ sekiranya ingin melihat Malaysia Airlines kembali meraihkan pelbagai kejayaan anugerah seperti Anak Kapal Terbaik Dunia sebelum ini.
“Malaysia Airlines perlu memiliki kepemimpinan yang terbaik seperti zaman kegemilangannya dan membangunkannya semula seperti sebelum ini serta kembali dengan apa yang telah dilakukan dan itu sahaja cara perlu ada.
“Ini kerana ia melibatkan wang dan bukan percuma, usaha dan perlu masa yang banyak dan selain itu, kita perlu beli pesawat, itu sudah pasti. Jika kita tidak ada pesawat yang cukup, kita akan terus ketinggalan di belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk Unveiling The Untold: The Mas Boeing 737 Deal & The Airline’s Tumultuous Decades, di sini, hari ini.
Turut hadir Jurutera Berlesen Pesawat dengan Malaysia Airlines yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AB Consulting, Datuk Dr. Amir Khan.

Shulhameed merupakan bekas juruterbang syarikat penerbangan yang dilatih oleh Malaysia Singapore Airlines dan memilih untuk menyertai Malaysia Airlines pada Oktober 1972.
Beliau telah menerbangkan pesawat Boeing termasuk B737 di pelbagai laluan antarabangsa sebelum bersara daripada Malaysia Airlines sebagai pengurus besar operasi penerbangan yang menguruskan 5,000 kru kabin.
Mengulas lanjut, Shulhamed secara terbuka mengakui Malaysia Airlines memerlukan ahli perniagaan seperti Tan Sri Tony Fernandes untuk mengetuai syarikat penerbangan tersebut.
Beliau meluahkan keyakinan pengasas syarikat penerbangan tambangan murah kiaitu AirAsia itu mampu mengubah Malaysia Airlines ke tahap lebih tinggi jika diberi peluang menerajui syarikat itu.
“Sebenarnya sudah terlalu lama, kos sebenar dan tujuan strategik di sebalik keputusan oleh syarikat penerbangan nasional tidak diketahui ramai.
“Justeru kami mahu membuka apa yang tersirat selama ini dengan menawarkan ketelusan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, jumlah pembelian 30 pesawat Boeing dengan opsyen tambahan 30 lagi pesawat masih dilihat sedikit berbanding jumlah pesawat yang dimiliki syarikat penerbangan lain di dunia.
Kata beliau, mengendalikan perniagaan syarikat penerbangan, keperluan memiliki pesawat adalah menjadi keutamaan dan jumlah pesawat perlu ada bergantung kepada keputusan perniagaan yang dibuat pengurusan tertinggi.
“Set kembali dan Malaysia Airlines ketika ini di bawah Khazanah Nasional yang dimiliki kerajaan dan kita lihat daripada perspektif itu.
“Dan, jika dibandingkan dengan pesaing yang lain terutamanya swasta, ada yang mempunyai lebih 200 pesawat bersamaan Boeing 737. Jadi jika kita hendak menjalankan bisnes ini, kita tidak buat separuh dan perlukan infrastruktur.
“Persoalannya adakah kita mampu menjana wang? Daripada persepktif pesawat, kita tidak memerlukannya kerana menguruskan perniagaan adalah isu pengurusan sama ada mampu atau tidak. Jadi ada dua benda iaitu bisnes dan pengurusan,” katanya. – MalaysiaGazette
















