PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokap agensi pihak berkuasa dinaik taraf.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat lokap di mana sistem CCTV yang diguna pakai ketika ini disifatkan sebagai lapuk.

Situasi itu, jelas beliau, boleh menimbulkan banyak isu termasuk tohmahan masyarakat dari sudut kemungkinan berlakunya elemen rasuah dan ketidakpatuhan prosedur disebabkan masalah teknikal.

Malah, beliau turut menyarankan pemasangan CCTV yang dinaik taraf dengan sistem kecerdasan buatan (AI) selain turut disambungkan kepada pusat kawalan operasi (command centre).

“Saya sudah cadangkan supaya satu kertas kerja yang lebih komprehensif dibuat bagi tujuan pemasangan CCTV yang dinaik taraf ini dan menekankan kepada kerajaan berhubung keperluan pemasangan CCTV di agensi-agensi kerajaan ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM ketika ini juga sedang merintis usaha untuk menerapkan elemen antirasuah dalam pendidikan di peringkat prasekolah bagi mewujudkan kesedaran bermula dari peringkat lebih awal.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pakar termasuk di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkenaan pendekatan pembelajaran yang sesuai bagi kanak-kanak di peringkat prasekolah untuk dimajukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Jelasnya, elemen antirasuah di peringkat sekolah itu digarap dalam bentuk pembelajaran yang lebih interaktif dan mudah menarik minat kanak-kanak seperti menerusi komik dan bahan digital.

“Ini supaya bermula di peringkat prasekolah lagi sudah ada elemen yang kita serapkan dalam pemikiran kanak-kanak bahawa amalan rasuah itu adalah perbuatan yang tidak baik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast