PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki secara peribadi berpandangan majoriti rakyat kurang yakin dengan usaha agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam memerangi amalan rasuah.
Menurut beliau, perkara itu berdasarkan hasil kajian yang dilakukan dan input yang diterima oleh pegawai SPRM daripada orang awam.
Katanya, situasi itu diburukkan lagi dengan teguran menerusi Laporan Audit Negara yang menyentuh mengenai ketidakpatuhan dalam amalan kerajaan yang berulang-ulang saban tahun.
“Apabila bercakap berkenaan persepsi rakyat, rata-rata saya lihat mereka tidak nampak usaha bersungguh-sungguh dalam kalangan agensi kerajaan dan GLC untuk membanteras amalan rasuah.
“Sebagai contoh teguran yang dibuat Ketua Audit Negara berhubung perkara sama (ketidakpatuhan) setiap tahun, ia menyebabkan walaupun persepsi rakyat itu tidak menurun, tetapi ia juga tidak meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Tambah Azam, persepsi itu bertentangan dengan kajian yang dilakukan oleh sebuah institusi akademik yang mana keyakinan rakyat terhadap SPRM dalam membanteras rasuah meningkat sehingga 70 peratus.
Bagaimanapun, jelas beliau, usaha membasmi banteras bukan hanya terletak pada SPRM sebaliknya ia turut melibatkan kebersamaan semua agensi kerajaan dan GLC.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya agensi kerajaan dan GLC turut mempromosikan usaha yang dilakukan mereka dalam membanteras rasuah di organisasi masing-masing kepada pengetahuan masyarakat.
“Mungkin agensi kerajaan dan GLC ada melakukan usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran rasuah, tetapi tidak ditonjolkan, jadi persepsi rakyat tidak melihat kesungguhan organisasi ini.
“Sebab itu komunikasi strategik itu penting, jadi kita saran agensi kerajaan dan GLC ini supaya selain mempromosikan aktiviti, mereka turut mempertontonkan kesungguhan serta inisiatif yang telah diambil dalam melawan rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette
















