Mordi Bimol

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan insentif sifar buli yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) disifatkan sebagai langkah kosmetik yang tidak menyelesaikan akar masalah, sebaliknya berisiko menjadi tampalan sementara semata-mata.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, walaupun niat murni kerajaan untuk membendung gejala buli wajar dipuji, mekanisme insentif tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

“Soalan paling utama ialah apakah indikator yang digunakan untuk mengukur ‘sifar buli’? Adakah berdasarkan laporan dalaman, aduan rasmi atau kaji selidik luaran?

“Jika laporan hanya bergantung kepada pentadbiran institusi, bagaimana kerajaan memastikan tiada kes ‘ditutup’ demi mencapai pengiktirafan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, tanpa sistem pemantauan bebas, insentif ini hanya akan melahirkan “angka cantik atas kertas”, sedangkan realiti di lapangan tetap membimbangkan.

“Mencegah buli bukanlah sesuatu yang patut diberi hadiah, tetapi satu tanggungjawab moral dan undang-undang.

“Saya khuatir langkah ini membuka ruang kepada pembaziran dan tidak menambah nilai sebenar kepada usaha jangka panjang membanteras budaya buli,” tegasnya.

Katanya, pengalaman lepas menunjukkan beberapa inisiatif kerajaan lebih bersifat kosmetik berbanding substantif dan risiko sama boleh berlaku jika insentif ini diteruskan tanpa reformasi menyeluruh.

“Membanteras buli memerlukan pendekatan yang menekankan pendidikan karakter, sokongan kaunseling, serta penguatkuasaan undang-undang disiplin yang konsisten, bukan bergantung kepada ganjaran material yang belum tentu adil dan telus,” ujarnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini berkata KPM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelajar yang terlibat dalam salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat.

Sementara itu, KPM dalam masa yang sama mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast