GEORGE TOWN – Tiga premis makanan di sekitar daerah Timur Laut, di sini, diarahkan tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan pihak berkuasa mendapati najis tikus di ruang penyimpanan sejuk beku, dapur dan stor.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, tindakan itu diambil selepas tahap kebersihan didapati berada pada paras tidak memuaskan, selain melanggar syarat pelesenan yang ditetapkan.
“Notis penutupan berkuat kuasa semalam hingga 3 September depan dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 38 (1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.

“Kesemua premis yang diperiksa diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu selepas pemeriksaan mendapati keadaan tidak mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut MBPP, operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Pelesenan MBPP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Antara aspek diperiksa termasuk kebersihan premis, lesen perniagaan sah, pematuhan pengendali makanan serta syarat pelesenan lain.
“Sebanyak 14 kompaun turut dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPPP 1983 kerana pengendali gagal mendapatkan atau mengemukakan kad pelalian Anti-Tifoid ketika pemeriksaan dijalankan.
“Selain itu, KPDN mengeluarkan kompaun ke atas sebuah premis kerana gagal memaparkan caj harga perkhidmatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Sebuah lagi premis dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak disahkan bagi tujuan perdagangan,” jelas kenyataan itu.
MBPP menegaskan operasi penguatkuasaan seumpamanya akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan dan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi oleh pengusaha premis makanan. – MalaysiaGazette















