KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan sebanyak 48 peratus keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 (S2 TK2025), meningkat kepada RM209 juta berbanding RM141 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh prestasi kukuh bahagian perladangan.
Keuntungan operasi kumpulan (sebelum perubahan nilai saksama dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan susut nilai) meningkat kepada RM341 juta berbanding RM239 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) dicatatkan sebanyak RM137 juta berbanding RM86 juta dalam suku yang sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan turut meningkat sebanyak 5 peratus kepada RM5.79 bilion, disokong oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi iaitu RM4,218 setiap metrik tan (MT) berbanding RM4,103 setiap MT pada suku yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa perniagaan hiliran mencatatkan prestasi yang lebih rendah, khususnya bahagian minyak dan lelemak.
“Prestasi kami bagi suku ini mencerminkan daya tahan dan keupayaan FGV untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang mencabar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman.
Bahagian perladangan mencatatkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM157 juta berbanding RM101 juta pada tahun lalu, disokong oleh peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) kepada 1.13 juta MT berbanding 0.96 juta MT, sekali gus meningkatkan hasil kepada 4.45 MT sehektar berbanding 3.76 MT sehektar sebelum ini.
Kos operasi ladang menurun sebanyak 21 peratus, manakala kadar perahan minyak (OER) sedikit rendah pada kadar 20.09 peratus berbanding 20.48 peratus tahun lalu.
Jumlah BTS yang diterima meningkat sebanyak 5 peratus, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada ladang FGV dan peneroka Felda meningkat daripada 3.66 juta MT kepada 3.85 juta MT.
Secara keseluruhan, sebanyak 1.12 juta MT (29 peratus) dihasilkan di ladang-ladang FGV, 1.10 juta MT (29 peratus) diterima daripada pihak ketiga dan 1.63 juta MT (42 peratus) diterima daripada peneroka FELDA.
Sementara itu, segmen getah mencatatkan kerugian yang lebih tinggi berikutan jumlah jualan yang lebih rendah, ketidakpadanan harga jualan dan kelewatan penghantaran, di samping susut nilai sebanyak RM8.60 juta bagi kilang yang mencatatkan kerugian.
Perniagaan baja turut berdepan tekanan margin akibat kos bahan mentah yang tinggi serta harga jualan purata yang lebih rendah dengan caj nilai saksama bagi LLA meningkat kepada RM131.84 juta berbanding RM66.68 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Bahagian minyak dan lelemak pula merekodkan keuntungan sebanyak RM46 juta, disebabkan oleh margin dagangan yang lebih rendah dalam segmen komoditi pukal.
Segmen kimia turut terkesan oleh penurunan jumlah jualan oleokimia dan biodiesel berikutan permintaan yang lebih perlahan.
Sebaliknya, segmen minyak makan mencatatkan prestasi yang lebih baik dengan margin dan jumlah jualan yang lebih kukuh, manakala keuntungan daripada usaha sama turut meningkat kepada RM15.91 juta berbanding RM0.28 juta sebelum ini.
Bahagian logistik dan sokongan mencatatkan peningkatan keuntungan kepada RM45 juta berbanding RM38 juta pada suku yang sama tahun lalu, disokong oleh pemulihan susut nilai atas hutang penerimaan sebanyak RM12 juta dalam segmen IT.
Tanpa mengambil kira pemulangan ini, keuntungan Bahagian adalah lebih rendah berikutan kadar pengendalian yang lebih rendah disebabkan penurunan 14 peratus dalam segmen logistik, berpunca daripada kadar pengendalian yang lebih rendah dalam operasi pukal dan kos operasi pengangkutan yang lebih tinggi, meskipun jumlah tan yang dikendalikan meningkat.
Dalam pada itu, kerugian bahagian gula susut kepada RM21 juta, berbanding RM30 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Penambahbaikan tahap kerugian ini didorong oleh margin yang lebih tinggi serta kadar penggunaan kapasiti yang lebih baik, walaupun hasil pendapatan menurun akibat harga jualan purata yang lebih rendah.
Bahagian produk pengguna berjaya mengurangkan kerugian kepada RM7 juta berbanding RM21 juta pada suku yang sama tahun lalu, disokong oleh margin yang lebih baik serta subsidi kerajaan bagi minyak masak botol.
Segmen pertanian bersepadu dan tenusu terus berdepan tekanan hasil dan margin, selain susut nilai aset bukan kewangan sebanyak RM2.44 juta bagi segmen tenusu. – MalaysiaGazette















