Mohamad Fazli melihat jentera Potholes Pro JCB selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Jalan di Persiaran Laksamana, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Tiada laporan kerosakan sistem perpaipan milik Petronas Gas Berhad (PGB) selepas gempa bumi lemah yang melanda Segamat, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri masih lagi menunggu laporan penuh Petronas dan agensi berkaitan.

Jelasnya, ini bagi memastikan keselamatan struktur fasiliti syarikat itu dan infrastruktur awam berada dalam keadaan baik.

“Kita faham laporan mengenai fasiliti paip gas bawah tanah ini menjadi kerisauan penduduk dan setakat ini kita belum terima apa-apa laporan daripada pihak Petronas sama ada berlaku pergerakan (tanah) dan sebagainya.

“Kita masih menunggu laporan lengkap daripada semua agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melihat jika ada langkah penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Jalan di Persiaran Laksamana, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, pemantauan awal melibakan aset kerajaan negeri termasuk jalan raya, bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta empangan di kawasan terlibat setakat ini tidak menunjukkan sebarang kerosakan.

“Mungkin ada retakan kecil, tetapi tidak melibatkan struktur. Cuma untuk sekolah, hospital, klinik dan sebagainya di bawah agensi lain, kita masih tunggu laporan daripada jabatan masing-masing sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga kini bergantung kepada laporan pakar daripada agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan MetMalaysia memandangkan peralatan pengesanan gegaran khusus belum dimiliki.

“Kita belum ada alat mengesan pergerakan tanah secara menyeluruh, kalau JKR kita ada alat pengesanan pergerakan tanah tapi untuk cerun. Pemantauan sedia ada hanya untuk kawasan cerun menggunakan teknologi yang ada sekarang,” katanya.

Menurut Mohamad Fazli, sebarang tindakan penambahbaikan akan diputuskan selepas laporan penuh diterima daripada semua pihak dan agensi berkaitan.

Semalam, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku di Segamat pada pukul 8.59 pagi, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.

Ahad lalu, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah masing-masing berukuran magnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi dan 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast