KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang dihadapinya, ke Mahkamah Persekutuan.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin selaku pemohon telah memenuhi ujian seperti yang dikehendaki undang-undang.
“Persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk adalah sukar dan mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan di hadapan saya dan keputusan Mahkamah Persekutuan kelak akan memberi kesan pantas terhadap pertikaian itu,” kata beliau sewaktu menolak bantahan pihak responden.
Antara persoalan undang-undang yang dirujuk itu ialah sama ada Seksyen 4 dibaca bersama Seksyen 3(3) Akta Hasutan 1948 terjumlah kepada suatu sekatan yang tidak munasabah dan berkadaran kepada kebebasan bercakap dan bersuara dan/atau menjadikan pelaksanaan kebebasan bercakap dan bersuara tersebut tidak berkesan atau menjadi ilusi dan oleh yang demikian adalah bercanggah dengan Fasal 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut memerintahkan penggantungan prosiding kes di Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian berkenaan permohonan rujukan itu di Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani manakala Muhyiddin diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.
Pada 4 Februari lalu, Muhyiddin, 77, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sini. – MalaysiaGazette















