Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu mewujudkan peluang bagi memastikan masyarakat India khususnya golongan muda keluar daripada perangkap pekerjaan berpendapatan rendah yang diwarisi sejak sekian lama.

Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, anak muda kaum India tidak lagi boleh terus berlegar dalam sektor yang terbatas, sebaliknya perlu diperkasa dengan pembangunan berasaskan tiga teras utama (3E) iaitu Education (Pendidikan); Entrepreneurship (Keusahawanan) dan Employment (Pekerjaan).

Dalam masa sama, ujar beliau, golongan itu juga perlu diberikan akses kepada latihan digital supaya bersedia menghadapi keperluan ekonomi moden.

Selain itu, tambahnya, anak muda India juga memerlukan modal dan bimbingan keusahawanan supaya berani mengambil risiko dan membina perniagaan baharu serta peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor teknologi, inovasi dan ekonomi digital.

“Langkah ini bukan hanya penting untuk masyarakat India semata-mata, tetapi juga untuk memastikan Malaysia secara keseluruhan dapat melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Sivaraj turut membandingkan realiti di India ketika ini hasil lawatan beliau bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi baru-baru ini, yang mana negara itu disifatkan 10 tahun ke hadapan berbanding Malaysia.

Ia terutamanya, ujar beliau, dari aspek pendigitalan pendidikan, pembangunan ekosistem pemula (startup) dan keterbukaan kerajaan negara itu dalam menyediakan ruang inovasi.

Jelas beliau, apa yang menjadi perbandingan bukanlah berkenaan negara mana yang lebih maju, sebaliknya bagaimana sesebuah negara melangkah begitu jauh dalam tempoh yang singkat.

“Jawapan yang kita temui jelas, keberanian membuat pembaharuan. India telah memberi penekanan kepada pendidikan teknikal, inovasi teknologi, dan jaringan keusahawanan global.

“Hasilnya, negara itu kini muncul sebagai antara kuasa besar digital dunia,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga mampu melakar kejayaan sama memandangkan negara ini tidak berdepan kekurangan bakat, kemampuan atau kepakaran dalam kalangan rakyatnya yang sudah terbukti kreatif, rajin serta berdaya fikir tinggi.

Namun, katanya, tanpa sistem yang menyediakan laluan yang betul, potensi ini akan menjadi pembaziran. Inilah sebabnya kita mesti berani melakukan anjakan paradigma.

Sehubungan itu, tambah beliau, RMK-13 perlu menjadi dokumen yang bukan sekadar mengekalkan status quo, tetapi dokumen yang mencorakkan masa depan dengan keberanian.

Ujarnya, penenekanan kepada teras 3E bukan sahaja akan membuka ruang pembangunan untuk masyarakat India, tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ia adalah kunci untuk melahirkan generasi baharu yang mampu bersaing, berdikari dan menyumbang kepada ekonomi bernilai tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast