KUALA LUMPUR – Orang ramai serta syarikat korporat diseru membantu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumpulkan baki RM387 juta bagi menyiapkan 35 projek wakaf khas yang sedang dibangunkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap sumbangan yang disalurkan, walaupun kecil jumlahnya, tetap memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan akan menjadi saham akhirat yang berpanjangan.
“Bantulah PPZ-MAIWP dalam mengumpulkan baki RM387 juta lagi untuk menyiapkan 35 projek wakaf khas yang sedang dibangunkan.
“Walaupun kecil jumlahnya, setiap sumbangan akan menjadi saham akhirat yang berpanjangan, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Program Cakna Wazat Bersama Komuniti di Dewan Terbuka PPR Seri Semarak, Setapak, hari ini.
Bagi menjayakan program itu, enam syarikat iaitu TEKUN Nasional, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Amanah Raya Berhad, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), NexG Berhad dan Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (KoPutri) tampil menyumbang dana wakalah syarikat masing-masing.
Jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM220,000 yang membolehkan 22 siri jelajah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam sekitar Wilayah Persekutuan dilaksanakan.
Pada majlis berkenaan, seramai 100 asnaf dari PPR Seri Semarak menerima Bakul Rezeki bernilai RM100 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM10,000.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada semua syarikat penyumbang atas keprihatinan dan rasa tanggungjawab sosial yang ditunjukkan.
“Sumbangan ini membuktikan sektor korporat dan institusi zakat mampu berganding bahu demi manfaat asnaf.
“Ini juga menjadi bukti skim wakalah zakat PPZ-MAIWP bukan sahaja menguntungkan asnaf, bahkan membuka ruang kepada syarikat untuk menyantuni masyarakat secara langsung,” jelasnya.
Beliau menambah, sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 yang diraikan esok perlu dihayati dengan pengertian lebih luas iaitu bebas daripada belenggu kemiskinan dan kelemahan ekonomi.
“Dalam kerangka itu, zakat dan wakaf adalah instrumen penting memperkukuh jaringan keselamatan sosial. Ia selari dengan usaha kerajaan memastikan tiada siapa yang tercicir, dan semua lapisan masyarakat berpeluang menikmati kesejahteraan hidup.
“Inilah jihad ekonomi yang mesti kita perhebatkan bersama, agar kemerdekaan yang kita kecapi benar-benar bermakna untuk semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette















