Kereta terbabas ketika melalui lorong Touch ‘n Go di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) arah Semenyih, awal pagi tadi.

KAJANG – Dua individu cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika melalui lorong Touch ‘n Go di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) arah Semenyih, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, kereta berkenaan yang datang dari arah Balakong dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh batu penghadang lalu terhumban ke dalam lorong tol.

Akibatnya, pemandu lelaki berusia 24 tahun dan penumpang wanita berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan ketika memasuki lorong Touch ‘n Go.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda minimum RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis di balai berhampiran atau terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Sarjan Khairil Azuat Khairol Anuwar di talian 018-9007723 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast