KUALA LUMPUR – Pengguna elektrik domestik kini mula menikmati pengurangan bil elektrik, susulan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Mereka melahirkan rasa lega kerana penjimatan bil elektrik yang agak ketara itu turut memberi kesan positif kepada perbelanjaan isi rumah bulanan.
Paling utama, pengurangan bil elektrik itu menghapus kebimbangan mereka terhadap dakwaan kononnya jadual tarif elektrik baharu yang mula dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1 Julai lalu akan menyebabkan bil elektrik mereka meningkat.
Golongan bekerja dari rumah nikmati penjimatan lebih besar
Bagi seorang eksekutif swasta, Ahmad Hafeeq Zainuddin, dia mula menikmati penjimatan kira-kira RM40 bagi bil elektrik bulan Ogos berbanding bulan-bulan sebelum ini.
Katanya yang tinggal menyewa bersama tiga rakan lain di Setapak, penjimatan itu turut menyebabkan kadar sewa yang dibayar mereka berkurangan yang kemudiannya digunakan bagi tujuan keperluan lain.
“Ada daripada kami yang perlu bekerja dari rumah dan masing-masing mempunyai pelbagai gajet seperti telefon bimbit, komputer meja dan laptop yang mana penggunaan elektrik setiap hari memang tinggi.
“Jadi, penstrukturan tarif elektrik baharu ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kos perbelanjaan kami,” katanya mengulas pelaksanaan tarif elektrik baharu termasuk pengenalan Insentif Cekap Tenaga yang membantu penjimatan.
Suri rumah manfaat Skim ToU untuk penjimatan elektrik
Bagi seorang pensyarah swasta pula, Normazlina Ismail, berkata “Sebelum ini secara purata bil elektrik saya berjumlah RM200, tetapi bagi bulan Ogos pengurangannya begitu ketara iaitu sekitar RM140 sahaja.
Menurut Normazlina, penjimatan bil elektrik yang dinikmatinya itu juga disebabkan dia memanfaatkan sepenuhnya kelebihan skim Masa Penggunaan atau Time of Use (ToU) yang dipohonnya pada 1 Julai lalu.
Jelasnya, dia kini hanya menjalankan kerja-kerja rumah yang melibatkan penggunaan elektrik tinggi seperti membasuh dan menggosok pakaian hanya pada hujung minggu atau waktu luar puncak iaitu ketika kadar elektrik lebih rendah.
“Saya mempunyai empat anak yang bersekolah, jadi kerja-kerja membasuh dan menggosok pakaian memang banyak dan memerlukan penggunaan elektrik yang tinggi.
“Jadi semua kerja-kerja rumah ini saya lakukan ketika cuti hujung minggu kerana mahu mendapatkan penjimatan elektrik pada waktu luar puncak,” katanya.
Kaedah mudah mohon Skim ToU
Selari dengan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu, TNB kini turut memperluaskan skim ToU kepada pelanggan domestik dan bukan domestik voltan rendah.
Menerusi skim itu, pengguna boleh merancang untuk melakukan aktiviti yang menggunakan peralatan elektrik seperti mencuci dan menggosok pakaian, memasak dan lain-lain di waktu luar puncak untuk menikmati kadar bil yang lebih rendah.
Waktu luar puncak adalah pada pukul 10 malam hingga 2 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat dan sepanjang hari pada Sabtu dan Ahad serta 15 hari Cuti Umum terpilih.
Waktu puncak pula ialah pada pukul 2 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat.
Menurut laman rasmi TNB, kadar caj tenaga bagi jumlah penggunaan 1,500 kWj dan ke bawah sebulan semasa waktu puncak untuk pengguna Domestik adalah 28.52 sen/kWj, manakala caj tenaga pada waktu luar puncak ialah 24.43 sen/kWj.
Selain caj tenaga, pengguna domestik turut dikenakan caj AFA, caj kapasiti, caj rangkaian, dan caj peruncitan tertakluk kepada terma tertentu.
Berpandukan kepada skim ToU ini, pengguna TNB kini secara tidak langsung dapat menjimatkan bil elektrik yang perlu dibayar pada bulan berkenaan.
Bagaimanapun, skim ToU ini adalah pilihan dan pengguna TNB perlu memohon untuk menikmati manfaat daripada skim ini.
Terdapat beberapa cara untuk memohon skim ToU ini antaranya dengan melayari portal myTNB di www.mytnb.com untuk permohonan dalam talian, menghantar e-mel ke [email protected] atau berkunjung terus ke Kedai Tenaga.
Untuk sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh mengubungi TNB Careline menerusi pelbagai platform media sosial seperti Facebook: TNB CareLine dan X: Tenaga_Nasional; telefon (1-300-88- 5454) atau melayari laman sesawang www.mytnb.com.my/tariff – MalaysiaGazette
















