KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan menghentikan pelbagai skim yang boleh mengurangkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk i-Lindung.
Penyelaras Biro Pekerja PSM, R Saratbabu Raman berkata, skim-skim yang diperkenalkan itu bukan perlindungan sosial, sebaliknya hanya merompak masa depan golongan pekerja.
Menurutnya, semua skim yang diperkenalkan KWSP meskipun dikatakan membantu pekerja dengan wang simpanan mereka, tetapi hakikatnya tidak menyelesaikan akar permasalahan sebenar iaitu keruntuhan sistem perlindungan sosial negara yang terlalu bergantung kepada caruman pekerja sendiri.
“Kerajaan perlu menghentikan penjenamaan semula skim-skim yang hanya mengaburi mata rakyat. Apa yang diingini golongan pekerja bukan sekadar akses kepada produk perlindungan, tetapi satu reformasi menyeluruh terhadap sistem perlindungan sosial negara yang menegakkan prinsip keadilan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Saratbabu Raman berkata, PSM menggesa kerajaan meningkatkan gaji selaras dengan kos sara hidup memandangkan golongan B40 dan M40 ketika ini terkesan akibat kos perbelanjaan yang sangat tinggi.
Jelasnya, gaji minimum pada masa ini bukan gaji bermaruah dan jauh rendah jika dibandingkan dengan formula kiraan Majlis Perundingan Gaji Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam masa sama, ujarnya, PSM turut pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja dibentangkan segera di Parlimen supaya Perkeso dapat memberi perlindungan selama 24 jam kepada pekerja.
“Kerajaan harus bertanggungjawab dalam menyediakan sistem perlindungan sosial sejagat, bukannya membebankan pekerja menerusi skim seperti i-Lindung,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan konsep gaji sosial untuk memastikan rakyat diberikan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, perumahan dan penjagaan kanak-kanak.
“Golongan pekerja di Malaysia semakin letih dengan pelbagai retorik dan pelancaran skim baharu yang hanya mencantikkan statistik bukan menyelesaikan masalah sebenar.
“Kerajaan Madani seharusnya menjadi pelindung rakyat, bukan jurujual produk kewangan.
“PSM akan terus mendesak kerajaan agar hak pekerja dilindungi, bukan dipergunakan untuk mengisi poket syarikat insurans atau menutupi kegagalan dasar kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















