The minor earthquake that shook Segamat on 24 August 2025 was triggered by the reactivation of a fault line connected to the Mersing Fault system.

Oleh: Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali

GEGARAN lemah berukuran magnitud 4.1 yang mengejutkan warga Segamat seawal pagi 24 Ogos 2025 menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak kebal daripada ancaman gempa bumi. Lebih membimbangkan, gegaran susulan masih terus berlaku sehingga ke hari ini. Sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan bangunan sedia ada, khususnya bangunan lama terhadap impak gegaran.

Walaupun secara teorinya, negara kita tidak terletak secara mutlak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang sering mengalami aktiviti seismik, kejadian di Segamat membuktikan bahawa kesan gegaran tetap boleh dirasai. Setakat ini, tiada kerosakan besar atau kemalangan jiwa dilaporkan. Namun, langkah proaktif masih perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti sebarang kerosakan yang mungkin berlaku, khususnya pada bangunan yang telah berusia atau sedia ada mengalami kerosakan. Ini kerana gegaran kecil berpotensi mendatangkan kesan lebih buruk sekiranya tidak dikenal pasti lebih awal.

Jelas, bangunan lama lebih terdedah kepada kerosakan kerana dibina sebelum piawaian anti-gempa diperkenalkan. Justeru, pemeriksaan berkala dan usaha pengukuhan struktur wajar dipertimbangkan oleh pemilik dan pengurus bangunan bagi menjamin keselamatan jangka panjang. Terdahulu, tindakan Kerajaan Negeri Johor bertindak pantas menasihati rakyat menjauhi struktur tidak kukuh dan peka terhadap arahan pihak berkuasa, menunjukkan keprihatinan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Walaupun gegaran yang berlaku adalah lemah, kesedaran awal tetap penting bagi mengelakkan panik dan memberi panduan kepada rakyat tentang tindakan segera yang perlu diambil. Dalam konteks pengurusan bencana moden, keupayaan negara untuk mengesan, merekod, dan menghebahkan maklumat gempa bumi dengan cepat merupakan aset penting. Namun, di sebalik jaminan bahawa tiada kerosakan besar berlaku, penilaian awal teknikal yang lebih mendalam masih sangat diperlukan. Gegaran berintensiti rendah sekalipun hanya menyebabkan keretakan kecil berpotensi menjadi ancaman besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Di sinilah khidmat juruukur bangunan berdaftar boleh dimanfaatkan dan memainkan peranan yang sangat penting. Mereka merupakan profesional yang diiktiraf oleh Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) dan bernaung di bawah Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS) dengan kepakaran menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kondisi sesebuah bangunan. Melalui penilaian awal, juruukur bangunan dapat mengenal pasti tahap keselamatan struktur, menafsir risiko tersembunyi, serta mengeluarkan laporan profesional sebagai rujukan untuk tindakan lanjut di masa depan.

Antara peranan utama mereka selepas berlakunya bencana seperti gempa bumi ini termasuklah:

i. Menjalankan penilaian awal
Juruukur bangunan akan melakukan pemeriksaan fizikal terhadap keseluruhan
bangunan, termasuk dinding, lantai, bumbung, dan elemen struktur utama seperti tiang dan rasuk. Tujuannya adalah untuk menentukan sama ada bangunan masih boleh didiami atau perlu dikosongkan bagi mengelakkan risiko kepada penghuni. Penilaian ini juga membantu pihak berkuasa membuat keputusan segera mengenai keselamatan kawasan terlibat.

ii. Mengesan kerosakan tersembunyi
Selain kerosakan yang jelas kelihatan, gempa bumi sering menyebabkan keretakan halus pada konkrit, pergerakan pada asas bangunan, atau kelonggaran pada sambungan struktur. Juruukur bangunan menggunakan kaedah teknikal seperti pemeriksaan retakan dengan alat khas dan ujian bukan pemusnah (non-destructive testing) untuk mengesan kerosakan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ini penting kerana kerosakan tersembunyi boleh menjadi punca keruntuhan pada masa akan datang jika diabaikan.

iii. Memberikan cadangan teknikal
Selepas pemeriksaan, juruukur bangunan akan mengemukakan cadangan profesional mengenai langkah pembaikan atau pengukuhan yang perlu dilakukan.
Cadangan ini boleh meliputi tindakan segera seperti menutup kawasan berbahaya, menggunakan sokongan sementara untuk mengelakkan keruntuhan, atau pembaikan jangka panjang melalui kaedah pengukuhan struktur. Saranan ini membantu pemilik bangunan, jurutera, dan kontraktor membuat keputusan yang tepat untuk memastikan keselamatan awam.

iv. Menyediakan laporan forensik
Juruukur bangunan menyediakan laporan forensik yang terperinci merangkumi penemuan pemeriksaan, bukti bergambar, analisis teknikal, serta cadangan pembaikan. Laporan ini berfungsi sebagai dokumen rasmi untuk pelbagai pihak berkepentingan dalam perancangan pembaikan, untuk tujuan keselamatan dan pematuhan undang-undang, syarikat insurans untuk tuntutan, dan kontraktor untuk panduan kerja baik pulih. Ia juga menjadi rujukan penting bagi pencegahan risiko yang sama pada masa hadapan.

Pemeriksaan ini amat penting kerana kepada mata umum, sesuatu bangunan mungkin kelihatan normal dan tidak menjejaskan keselamatan. Namun, pemeriksaan pakar berautoriti mampu mendiagnosis keadaan sebenar dan mengesan kelemahan struktur yang berisiko mendatangkan bahaya. Dengan adanya pemeriksaan awal secara profesional, risiko runtuhan mengejut akibat kelemahan struktur dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya diminimakan, sekali gus melindungi nyawa penghuni serta pengguna bangunan.

Walaupun gempa lemah yang berlaku setakat ini tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kerosakan besar, ia tetap membawa mesej jelas bahawa kita perlu lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana alam pada masa hadapan. Mewajibkan pemeriksaan pasca gempa harus dipandang serius, terutamanya pejabat kerajaan, institusi pendidikan, dan fasiliti awam yang menempatkan ramai penghuni. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan, malah membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan risiko bencana secara berterusan. Pemeriksaan kondisi bangunan pasca gempa bukan sekadar pilihan teknikal, tetapi suatu kewajipan mandatori demi melindungi nyawa di dalam bangunan.

 

Penulis merupakan pensyarah Fakulti Alam Bina,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast