Usaha pencarian diteruskan dengan melibatkan aset laut di kawasan perairan sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menambah aset udara bagi memperluaskan sektor pencarian. foto APM Tumpat

KOTA BHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan memperluas operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang warga emas yang hilang di perairan Tumpat sejak Ahad lepas, meliputi kawasan seluas 412.15 batu nautika persegi di perairan negeri itu.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, operasi yang memasuki hari ketiga itu digerakkan menerusi aset laut dan udara milik Maritim Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam selain bantuan Royal Thai Marine Police serta nelayan tempatan.

“Mangsa, Ahmad Hussin, 71, dipercayai keluar seorang diri ke laut menaiki bot persendirian untuk memancing selepas bertolak dari Kampung Tanjung Kuala, Tumpat kira-kira 7.30 pagi, namun tidak pulang hingga kini.

“Maritim Malaysia memandang serius kejadian itu dan usaha pencarian akan terus dipergiat dengan memperluas kawasan operasi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menemukan sebarang petunjuk diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam atau pusat operasi Maritim Malaysia terdekat. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast