Pakar JMG bersama penyelidikan daripada universiti tempatan ketika menjalankan kajian pasca gempa bumi di Segamat, Johor baru-baru ini. - Foto: FB Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia - JMG

KUALA LUMPUR – Siri kejadian gempa bumi yang berpusat di Segamat, Johor membuka ruang untuk kerajaan menambah alat seismometer di daerah tersebut.

Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), seismometer ialah alat yang dipasang untuk mengesan dan mengukur kekuatan gelombang seismik iaitu gelombang yang terjadi daripada gegaran dalam bumi akibat aktiviti seperti gempa bumi.

Katanya, di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terdapat beberapa peralatan seismometer dipasang di seluruh negara termasuk di Johor, namun tidak ada alat itu dipasang di Segamat.

“Episod gempa yang berlaku di Segamat telah membuka episod baharu dalam kajian gempa di Malaysia.

“Walaupun gegaran yang dicatatkan masih dalam lingkungan selamat iaitu bermagnitud lemah, namun pengalaman pertama merasai gegaran bumi membibitkan rasa gerun dan khuatir,” katanya menerusi laman sosial Facebook Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia hari ini.

Tambah JMG, memandangkan alat seismometer yang dicadangkan ialah jenis pergerakan kecil (weak motion), lokasi yang sesuai hendaklah jauh dari gangguan aktiviti manusia seperti jalan raya.

Selain itu, katanya, faktor rupa bumi dan batuan dasar serta kebolehcapaian satelit juga perlu diambil perhatian bagi memastikan alat yang dipasang dapat berfungsi.

Ironinya, jelas JMG, gempa bumi hanya diketahui selepas ia berlaku iaitu hasil analisis dilakukan ke atas gelombang yang dicerap oleh seismometer atau jika bermagnitud besar, ia selepas kemusnahan seperti yang terjadi di Indonesia, Jepun, Turki dan Iran.

Sehubungan itu, katanya, penduduk perlu diberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan berhubung gempa dan gegaran bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia serta tahu untuk mengambil tindakan sewajarnya jika perkara ini berulang.

“Alah bisa tegal biasa, ibarat negara menangani bencana banjir,” katanya.

Sejak 24 Ogos lalu, daerah Segamat dilanda sekurang-kurangnya enam gempa bumi sederhana dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1 dengan kejadian terakhir berlaku Sabtu lalu berukuran 2.7 pada skala Richter.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai selepas gegaran gempa bumi tersebut turut menyebabkan beberapa bangunan dan kediaman penduduk mengalami keretakan kecil. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast