MELAKA – Dua lelaki warga Myanmar didenda RM10,000 manakala seorang lagi dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, selepas mengaku bersalah memiliki 1,193.5 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa lesen sah, Julai lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, keputusan itu dibuat Hakim Haderiah Siri semalam, selepas menerima pengakuan bersalah dan rayuan semua tertuduh yang juga ahli sindiket penyelewengan LPG.
Mohd Hazimin berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan jika gagal bayar terhadap tertuduh pertama dan kedua, Kaung Htet Kyaw dan Toe Chit Htwe, masing-masing berusia 23 tahun.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
“Manakala tertuduh ketiga, Min Khant Zaw,24 yang tidak memiliki pasport pula dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Julai lalu.
“Warga Myanmar itu dihantar ke Penjara Sungai Udang dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diusir keluar selepas tamat hukuman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didapati memiliki barang kawalan dan berjadual iaitu, 1,193.5 kg LPG dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.
“Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kilang di Jalan Berkat 8, Taman Malim Jaya, di sini, pada kira-kira jam 10 malam, 28 Julai lalu.
“Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dibaca bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jelas Mohd Hazimin, sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda maksimum RM3 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau dengan kedua-duanya.
Beliau berkata, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Hafizi Abdul Halim manakala semua tertuduh diwakili peguam Muhammad Zufar Elias.
Mahkamah juga menetapkan hasil jualan barang rampasan dilucuthakkan kepada pihak kerajaan selepas dipohon pihak pendakwaan.
Pada 28 Julai lalu media melaporkan KPDN Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan LPG bersubsidi dianggarkan bernilai RM40,000 hasil sebuan Op Gasak 2025 di sebuah premis kilang di Malim Jaya.
Ketika serbuan tiga lelaki warga Myanmar dipercayai pekerja di stor berkenaan ditahan ketika sedang menjalankan proses pemindahan gas bersubsidi 14 kg ke dalam tong gas industri 50 kg. – MalaysiaGazette
















