Surfcasting Tanjung Harapan

KLANG – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,500 bakal menjadi rebutan ratusan kaki pancing dari seluruh negara menerusi pertandingan Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di pesisir pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Pertandingan yang dijadualkan bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Kail Kota Events, dengan sokongan Tourism Malaysia, bersempena kempen Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut jurucakap penganjur, Zaiton Ahmad berkata, acara itu bukan sekadar sukan memancing, malah merupakan platform penting untuk menaikkan Tanjung Harapan sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti luar.

“Tanjung Harapan mempunyai potensi besar sebagai lokasi riadah keluarga dan aktiviti komuniti. Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat, malah mempromosikan keindahan semula jadi dan daya tarikan pelancongan Klang,” katanya dalam kenyataan.

Hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 disediakan untuk juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000.

Tempat keempat hingga ke-10 pula akan membawa pulang RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150 dan tempat ke-21 hingga ke-100 membawa pulang RM100 setiap seorang.

Yuran penyertaan hanya RM70 untuk satu joran (dua mata kail), dan 400 peserta terawal akan menerima t-shirt eksklusif percuma.

Acara dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti tiga unit TV 32 inci serta pelbagai barangan memancing.

Menariknya, kawasan Tanjung Harapan sememangnya terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lokasi strategik untuk menangkap pelbagai spesies ikan popular.

Antara spesies yang sering dinaikkan termasuk pari, senangin, gelama, kerapu, sembilang, belukang, tetanda, duri, ketuka dan jenahak.

Struktur dasar laut berlumpur dan berbatu di sekitar pesisir ini menjadikannya habitat semula jadi bagi ikan-ikan dasar yang aktif, terutama ketika air pasang surut.

Pendaftaran awal akan dibuka pada 6 September ini (Sabtu) dari jam 3 petang hingga 7 malam serta pada pagi 7 September (Ahad) dari 6.30 pagi hingga 10 pagi di khemah penganjur.

Selain memancing, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan pantai Klang, bersiar-siar bersama keluarga, menjamu selera dengan makanan laut segar dan bergambar di lokasi ikonik seperti Jambatan Pelabuhan Klang, mercu tanda maritim, serta menikmati panorama matahari terbenam terbaik di Lembah Klang.

Dengan penganjuran pertandingan berskala besar itu, Tanjung Harapan terus diangkat sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan baharu, sejajar aspirasi MBDK untuk membina Klang sebagai bandar beridentiti, mesra rakyat dan berdaya saing.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2667011, 017-6805934, atau 012-2846811. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast