Asyraf Wajdi Dusuki.

MELAKA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih belum menerima sebarang saman daripada ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dibuang selepas terkait isu buli di institusi itu sebelum ini.

Perkara itu disahkan sendiri pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan tidak menerima apa-apa letter of demand (LOD) setakat ini.

“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa lagi LOD (dan) bila ugutan itu dibuat oleh mereka, saya sendiri tertanya-tanya atas asas apa yang nak disaman kerana tindakan dan proses yang kita lakukan adalah mengikut peraturan MARA.

“Cuma seperti mana saya sebutkan kami bukannya mahkamah untuk menentukan secara tuntas bersalah atau tidak tetapi prinsip saya jelas daripada awal lagi bila saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program bual bicara dan merasmikan Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Kolej Profesional MARA Bandar Melaka di sini hari ini

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, walaupun ketika itu ramai yang mempersoalkan konteks ‘You Touch You Go’ diperkenalkannya tetapi ternyata hari ini ia memberikan satu gambaran keseriusan kerajaan dalam menangani isu buli.

Jelas beliau, tindakan tegas MARA dalam menangani isu buli berlandaskan prinsip keadilan tanpa mengira darjat, pangkat atau latar belakang keluarga.

“Itulah jaminan saya kerana ada juga dalam kalangan mereka yang berpengaruh, cuba untuk membuat rayuan dan saya tidak melayaninya kerana prinsip ini kita dah jelaskan daripada awal.

“Setiap pelajar yang masuk mereka harus menandatangani aku janji dan kita tidak boleh berkompromi, takkanlah kita nak tunggu sehingga kehilangan nyawa baru kita akan bertindak,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, Asyraf mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang MRSM kerana kes buli mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan agensi itu.

Beliau berkata, tindakan itu kerana keputusan tegasnya menyingkirkan pelajar yang terbabit dalam salah laku disiplin serius khususnya membabitkan perbuatan buli.

Menurut Asyraf, beliau tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan pelajar kerana menjadi tanggungjawab MARA memastikan majoriti pelajar dapat belajar dalam suasana yang selamat dan kondusif.

Pada 27 Jun, enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli seorang pelajar Tingkatan Dua sehingga cedera, diarahkan dibuang dari institusi berkenaan.

Pada 26 Julai, enam pelajar MRSM di Melaka digantung dan dicadang dibuang daripada meneruskan pengajian di institusi itu, susulan kes buli dan dera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast