Dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Sungai Linggi berhampiran Jambatan Tanjung Agas, Teluk Kemang, Negeri Sembilan di sini pagi tadi.

PORT DICKSON – Hasrat ibu bapa mangsa kejadian kereta tergelongsor ke sungai sehingga menyebabkan kematian dua anak mereka, untuk menginfakkan makanan yang dirancang dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Tanjung Agas, di sini esok, bertukar kepada kenduri tahlil.

Rakan kepada keluarga mangsa, Aahanisa Hamid, 49, berkata dia bertemu dengan ibu bapa mangsa untuk berbincang mengenai urusan infak itu semalam yang membabitkan pengagihan 400 bungkus makanan tengah hari kepada jemaah, bagi tempoh tiga kali berturut-turut.

“Tadi, mereka (pasangan suami isteri) meminta saya untuk teruskan memasak bagi kenduri tahlil adik dan kakak (panggilan nama anak mereka yang maut) di masjid esok. Insya-Allah kami akan urus sebaik-baiknya amanah ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, dua beradik ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir di tebing sungai tiba-tiba tergelongsor jatuh ke dalam Sungai Tanjung Agas, di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan memaklumkan kejadian membabitkan ibu bapa berusia dalam lingkungan 40-an serta anak lelaki dan perempuan mereka masing-masing berusia enam dan lapan tahun itu pada 11.24 pagi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast