Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaungkan kata semangat bersama perwakilan yang hadir semangat pada Perhimpunan Agung Bersatu Malaysia 2024 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 NOVEMBER 2024.

 

 

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke lapan yang berlangsung di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor selama dua hari bermula hari ini disifatkan sangat penting buat parti tersebut.

Perhimpunan itu bakal menjadi titik penentu terhadap kesinambungan dan kelangsungan parti tersebut dalam landskap politik tanah air.

Menariknya, PAT Bersatu 2025 berlangsung ketika parti itu sedang berdepan dengan tiga cabaran besar.

Seperti dikongsikan pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, cabaran utama adalah kemampuan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal relevan memimpin parti tersebut.

Ini kerana, ujar beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT, sudah ada suara-suara yang mahu Muhyiddin digantikan kepada sosok pemimpin lain, khususnya Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Namun, tambahnya, melihat kepada semakin maraknya pertembungan proksi dalaman, Bersatu dilihat tidak mempunyai banyak pilihan, selain mengekalkan Muhyiddin.

Apatah lagi, katanya, buat masa ini, hanya Muhyiddin yang sekurang-kurangnya dilihat sebagai pemimpin yang paling memiliki kuasa penyatu dalam Bersatu.

“Jika Hamzah mengambil alih tampuk presiden sebagai contoh, pertembungan besar dijangka  berlaku dengan kumpulan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini akan meningkatkan lagi ketidakpastian dalaman parti, terutama ketika menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang semakin menghampiri.

“Sebab itu, walaupun Muhyiddin dilihat semakin `tidak cergas’, namun keberadaan beliau sekurang-kurangnya boleh memperlahan ribut yang berisiko melanda,” katanya.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

Sementara itu, tambah Mohd Yusri, PAT Bersatu 2025 juga berlangsung ketika pertembungan dalaman parti tersebut tidak lagi boleh disembunyikan.

Katanya, jika sebelum ini perhatian tertumpu kepada pergeseran antara kem Hamzah dan Mohamed Azmin, namun kini konflik dalaman Bersatu hangat diperkatakan wujud antara kem Hamzah dan Muhyiddin.

“Jika ingin melangkah jauh ke depan dalam landskap politik negara, Bersatu perlu segera sejukkan pertembungan ini.

“Sehubungan itu, PAT Bersatu 2025 adalah medan terbaik untuk setiap kelompok saling bermuhasabah untuk kepentingan parti,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah parti yang secara relatifnya masih kecil, akar umbi Bersatu dilihat masih lemah, perpecahan dalaman jika dibiarkan boleh menyebabkan parti itu hilang daripada radar politik negara lebih cepat berbanding parti-parti lebih besar.

Sementara itu, Mohd Yusti berkata, PAT Bersatu 2025 juga berlangsung dalam situasi sejauh mana parti tersebut mampu memenuhi tuntutan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN).

Ujarnya, walaupun tidak mengetuai PN, namun Pas merupakan parti dominan dalam gabungan itu dan tidak mustahil PN akan berkubur tanpa kehadiran Pas.

Tambah beliau, ketika ini banyak perkara-perkara besar yang dituntut atau dihasratkan Pas masih tertunggak antaranya desakan supaya organisasi kepimpinan PN distruktur semula.

Selain itu, jelasnya, bukan lagi rahsia juga Pas seolah-olah kurang berminat untuk Muhyiddin terus menjadi `poster boy’ Perdana Menteri PN dalam PRU-16.

“Antaranya juga ada ura-ura yang mana Pas lebih bersedia supaya Hamzah menjadi `poster boy’ bagi menggantikan Muhyiddin jika calon PM perlu datang daripada PN.

“Selain itu, ada juga desakan dalam Pas sendiri supaya pemimpin mereka diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya PN memenangai PRU-16,” katanya.

Jelas beliau, desakan dan tuntutan oleh Pas itu adalah relevan, penting dan mendesak untuk diberi perhatian oleh Bersatu khususnya pada persidangan kali ini.

Katanya, Bersatu perlu menyedari Pas merupakan parti besar dan paling mendapat sokongan orang Melayu ketika ini.

Ujar beliau, jika Pas membuat keputusan meninggalkan PN, Bersatu berisiko terkial-kial dalam politik negara, termasuk menerima nasib seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada pilihan raya umum lalu.

“Jika cabaran-cabaran ini mampu diurus dengan baik pada PAT Bersatu 2025 kali ini, Bersatu berupaya memposisi diri dengan lebih baik dalam arus politik tanah air untuk hari-hari mendatang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast