Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2025.

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti politik yang ekstrem dalam perjuangan kaum telah berada di dalam kerajaan hari ini.

Menurutnya, keberadaan mereka di dalam kerajaan bukan kerana mereka memenangi pilihan raya, tetapi kerana wujudnya rundingan rentas parti selepas pilihan raya umum yang lalu.

Hasilnya, tambah beliau, terbentuklah sebuah kerajaan campuran yang terdiri daripada parti-parti yang berlainan ideologi dan berseteru antara satu sama lain.

Ujarnya, perseteruan mereka pula bukanlah mengenai perkara yang remeh, tetapi menyentuh perkara yang paling asas dalam perjuangan parti masing-masing.

“Satu parti memperjuangkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

“Satu parti lagi memperjuangkan Malaysian Malaysia yang pada asasnya tidak mengiktiraf kewujudan masyarakat Bumiputera. Satu parti hendak memartabatkan syiar Islam, tetapi satu parti lagi memperjuangkan pembentukan sebuah negara sekular,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini malam ini.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh berkenaan, situasi itu wujud di dalam kerajaan hari ini kerana parti-parti tersebut pada awalnya telah mengenepikan asas dan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata untuk berada di dalam kerajaan dan mendapatkan kuasa.

Jelasnya, apabila berkuasa mereka bertelagah sesama sendiri kerana mempunyai ideologi yang berbeza.

Lebih malang, tambahnya, apabila ada parti yang mengambil sikap ekstrem dalam menegakkan ideologi mereka menerusi dasar-dasar kerajaan yang digubal sehinggakan berlaku perbalahan sesama sendiri yang sukar untuk dileraikan.

“Ia ibarat sebuah kerajaan yang tidur sebantal, tetapi mimpinya lain-lain. Kata-kata kesat, amaran, ugutan dan penghinaan dilemparkan terhadap satu sama lain.

“Ini menyebabkan kerajaan yang terbentuk bukanlah sebuah kerajaan yang stabil dalam erti kata yang sebenarnya. Ia sebuah kerajaan yang berkecamuk dan cacamarba,” katanya.

Tambah Muhyiddin, atas sebab itu juga, Bersatu menarik diri daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mahu bersekongkol dengan kerakusan parti DAP dan menolak daripada mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Melihat kebobrokan yang sedang berlaku dalam Kerajaan Madani hari ini, dan penolakan serta cacian rakyat terhadap sikap dan tindak-tanduk pemimpin mereka, saya yakin keputusan untuk tidak membentuk kerajaan bersama-sama mereka adalah keputusan paling tepat yang telah dibuat oleh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Keputusan ini dibuat semata-mata kerana kita sedar bahawa kita tidak boleh sekali-kali menggadai prinsip perjuangan semata-mata untuk beroleh kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast