Suasana kecoh dimulakan beberapa individu ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2025.

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden kekecohan dan pergelutan yang tercetus pada majlis Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 malam ini.

Menurut Muhyiddin, beliau secara peribadi tidak mengetahui dan tidak jelas dengan insiden kekecohan tersebut memandangkan sedang fokus menyampaikan ucapan dasarnya ketika ia berlaku.

“Saya tak berapa pasti, saya berada di atas pentas dan sedang fokus kepada ucapan saya.

“Saya tidak jelas apa sebenarnya yang berlaku, kita akan dapatkan laporan daripada pegawai (pasukan keselamatan)…sama ada perkara itu melibatkan perwakilan, saya tidak pasti,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, malam ini.

Muhyiddin ditanya berkenaan insiden kekecohan dan situasi tegang yang tercetus ketika beliau sedang menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena PAT Bersatu 2025, di IDCC, di sini, malam ini.

Kekecohan bermula ketika Muhyiddin dalam ucapan beliau menyentuh berhubung desas-desus wujud gerakan untuk mengutip tanda tangan bagi menjatuhkan beliau sebagai Presiden.

Ucapannya itu kemudiannya disambut dengan sorakan dan teriakan daripada sekumpulan perwakilan sehingga berlaku situasi di luar kawalan.

Kekecohan itu berlarutan selama beberapa minit memaksa Muhyiddin meneruskan ucapan beliau dalam keadaan para petugas cuba meredakan ketegangan yang berlaku.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, di sebalik insiden kekecohan tersebut, beliau menyifatkan PAT Bersatu 2025 yang bermula hari ini berlangsung dalam semangat yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap PAT Bersatu 2025 yang akan bersambung esok turut berjalan lancar dan tidak terganggu atau terjejas dengan insiden kekecohan yang berlaku malam ini.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau mempunyai sokongan penuh untuk terus memimpin Bersatu sebagai Presiden, Muhyiddin menegaskan, kedudukannya diputuskan menerusi pemilihan sebelum ini.

Sehubungan itu, ujarnya, sebarang perubahan jawatan Presiden perlu mengikut Perlembagaan parti.

“Sebab itu saya tidak terganggu (dengan dakwaan cubaan untuk jatuhkannya), dan dalam Bersatu tidak ada kem, sama ada kem A, B atau C. Hanya ada kem Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast